Nasional

Gadis tular azam capai keputusan cemerlang

Gadis yang tular dijaga ibu angkat berbangsa Cina kerana ditinggalkan ibu kandung tanpa kerakyatan berazam ingin mencapai keputusan cemerlang selepas mengikuti Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semester pertama tahun ini.

Rohana, 22, berkata, dia mahu melakar pencapaian cemerlang dalam jurusan yang diikutinya sebagai membalas jasa kepada ramai pihak yang prihatin terhadap kisah hidupnya bersama ibu angkat
berlainan agama yang menjaganya sejak dilahirkan.

Dia antara tiga pelajar yang dipilih menyertai program Anak Emas UTeM serta mendapat pembiayaan pembelajaran dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian berjumlah RM24,010.00.

“Alhamdulillah, UTeM telah memberi rezeki luas kepada saya bukan sahaja menerima melanjutkan pengajian malah memilih saya menerima pembiayaan penuh sepanjang tempoh pengajian.

“Saya tidak lagi perlu fikir nak bayar yuran dan perbelanjaan cuma saya mahu fokus untuk menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang serta menjadi pelajar terbaik.

“Ini adalah sebagai menghargai jasa semua pihak yang prihatin dan membantu saya serta ibu angkat dan seboleh-bolehnya saya mahu memperoleh sijil dekan setiap semester,” ujarnya.

Dia ditemui pemberita selepas diumumkan menerima pembiayaan sebanyak RM24,010.00 menerusi Program Anak Emas UTeM yang telah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di sebuah hotel di Ayer Keroh malam tadi.

Program tersebut memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga tidak bernasib baik untuk melanjutkan pengajian di UTeM, dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Tun
Canselor.

Selain Rohana dua lagi pelajar yang dipilih ialah Siti Fatimah Abdullah menerima RM35,172.00 dan Nurul Syafiqah Nor Hasyimi mendapat RM31,152.00.

Rohana yang dijaga seorang bekas guru berbangsa Cina, Chee Hoi Lan atau lebih dikenali dengan panggilan Laoshi berkata, dia juga mahu membalas jasa ibu angkatnya yang menjaga dan membesarnya
sejak ditinggalkan ibu kandung tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Saya mahu Laoshi gembira dengan kejayaan saya nanti dan apabila sudah berjaya giliran saya pula mahu menjaganya sebagai membalas jasa dia membesarkan saya dengan pelbagai rintangan dihadapi,”
katanya.

Kata gadis itu lagi, hampir setiap minggu dia akan pulang ke Kuala Lumpur bertemu Hoi Lan bagi melepaskan rasa rindu sejak dua bulan lalu diterima melanjutkan pengajian di UTeM. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button