Ekonomi

Gading Kencana rancang bina ladang solar di Kedah

Pada masa yang sama intai prospek kembangkan perniagaan ke luar negara

SYARIKAT penyedia perkhidmatan tenaga solar, Gading Kencana Sdn Bhd berhasrat membangunkan sebuah ladang solar berkapasiti 100 hingga 150 megawatt di Kedah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata setakat ini syarikat itu telah memiliki ladang solar berskala besar di Ayer Keroh, Melaka serta dua lagi di Bidor, Perak dan bercadang mengembangkan perkhidmatannya di utara tanah air.

“Ini adalah perancangan baharu kami (ladang solar di Kedah), maksudnya menjelang 2025 mungkin kita boleh beroperasi, kita sudah masuk tender dan sedang mengenal pasti lokasi tanak untuk dibangunkan ladang solar itu. Kalau ladang solar 100 megawatt pelaburannya boleh mencecah RM400juta” kata Muhamad Guntor.

Menurut beliau, langkah yang diambil oleh syarikat itu adalah sejajar dengan dasar kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng

Antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran itu termasuk memperkenalkan mekanisme ‘feed-in-tariff’ (tarif galakan), bidaan kompetitif bagi pembangunan loji janakuasa solar berskala besar dan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

Sementara itu beliau berkata Gading Kencana juga bercadang untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara selepas mendapat permintaan daripada beberapa negara termasuk Indonesia, Vietnam dan Kemboja.

Buat permulaan, katanya, syarikat itu telah mendaftarkan syarikat penanaman modal asing di Indonesia bagi membina ladang solar di negara tersebut yang diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, dua lokasi pembinaan ladang solar itu telahdikenal pasti iaitu sama ada di Jawa Sumatra atau Banjarmasin, namun menjelaskan permintaan ysng tinggi adalah di Jawa.

Barisan ahli panel seminar ‘Melestarikan Kedah: Mengurangkan Kos Sara Hidup melalui Tenaga Boleh Baharu’ yang diadakan Encomas House, Alor Setar, Kedah. Kredit Foto: FB Ecomas

Selain itu, katanya, syarikat tersebut turut meneriama pertanyaan dari negara-negara Afrika iaitu Malawi, Kenya serta Tanzania.

“Ini semua pasaran yang kita sedang fokus. Sekarang ini kita ada fokus produk kita iaitu solar panel ke Nigeria, jadi kita dah ada pelanggan, mungkin kita boleh kembang perniagaan di sana,” katanya.

Semalam, Muhamad Guntor menjadi ahli panel pada satu seminar bertajuk ‘Melestarikan Kedah: Mengurangkan Kos Sara Hidup melalui Tenaga Boleh Baharu’ yang diadakan Encomas House, Alor Setar, Kedah.

Seminar tersebut adalah bertujuan untuk menjelaskan mengenai dasar pelepasan karbon sifar bersih dan kepentingan tenaga boleh diperbaharui.

Artikel berkaitan > Gading Kencana, Affin Bank tawar pasang solar tanpa faedah

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button