FSKIK mantapkan seni naif dalam kalangan pelajar SMKBB2020
Seramai 74 orang pelajar tahun akhir Pendidikan Seni dari Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjayakan program Pemantapan Asas Seni Naif untuk berkongsi kemahiran bersama murid Sekolah Menengah Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020).
Program yang dikendalikan Kumpulan Seni (Euonía) itu dilaksanakan untuk memenuhi tugasan Kursus Profesional Praktis Jabatan Seni Reka dan Bentuk dengan kerjasama SMKBB2020 yang melibatkan penyertaan bersama 29 orang murid tingkatan 4 sekolah berkenaan.
Pensyarah Penasihat, Ts.Dr. Muhamad Firdaus Ramli dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata Seni Naif adalah konsep pengkaryaan yang dihasilkan tanpa terikat dengan unsur seni yang matang.
Justeru, katanya, menerusi program bertemakan “Perpaduan” ia dapat memberi peluang kepada peserta menjayakan pembelajaran meliputi aspek media, teknik dan proses apresiasi karya Seni Naif selain satu usaha bagi menghayati perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia dengan menggunakan aliran seni Naif sebagai medium ekspresi dengan bantuan fasilitator.
“Program Pemantapan Seni Naif ‘Perpaduan’ dianjurkan bagi memperolehi ilmu-ilmu dan pengalaman artistik yang bermanfaat meliputi aspek media, teknik dan proses.
Demonstrasi pengkaryaan seni naif melalui program membuka pemahaman peserta tentang aliran seni naif. Program Seni Naif Perpaduan dianjurkan bagi memperolehi ilmu-ilmu yang bermanfaat semasa menjalankan pengurusan acara sekaligus memanfaatkan ilmu semasa bengkel dijalankan.
Pengarah program, Seth Asyraf Fajarudin berkata program itu bertujuan menarik perhatian pelajar dan memberi persediaan melakukan aktiviti dalam kumpulan. Pada sesi ini pelajar diberikan taklimat dan pengenalan terhadap aliran seni naif.
“Aliran seni naif boleh diaplikasikan ke dalam penghasilan karya secara formal atau pun tidak formal. Di samping itu, persepsi tentang aliran seni naif dihasilkan mengikut tema ‘Perpaduan’ menggunakan media pen Artline dan warna pensel,” katanya.
“Kelangsungan Seni naif tidak selalu terletak hanya pada tradisi atau latar belakang budaya popular tertentu oleh sesuatu golongan”.
“Program seni naif mengangkat kesederhanaan dan kejujuran dalam latihan pengkaryaan artistik dengan aspek formal melalui lukisan yang diterapkan unsur dan prinsip yang standard,” katanya.
Jelasnya lagi, program seni naif memenuhi keperluan kemahiran pelajar tahun akhir Pendidikan Seni di samping menjalankan acara di luar premis kuliah, malah ia dihasilkan tanpa merujuk keperluan formaliti melalui penerapan aspek pengalaman artistik pribadi.
Sementara itu, Pengetua SMKBB2020, Che Sabry Deraman berkata pogram perkongsian melalui penghasilan karya Seni Naif itu memberi impak terhadap kreativiti murid Tingkatan Empat sekolah berkenaan selain memberi pemahaman tentang etika pendidikan dan disiplin profesional semasa pengendalian program dan majlis formal di sekolah juga dipraktikkan.
“Mahasiswa UPSI juga dapat membina kemahiran berkomunikasi dan
perundingan melalui aktiviti amali bersama pihak sekolah dan program seni naif sangat membantu para pelajar untuk menambah pengetahuan serta kemahiran dalam penghasilan karya seni.
Program yang dikongsikan mampu menjadi inisiatif kepada mahasiswa dari program Pendidikan Seni untuk menempuh alam pekerjaan serta mempunyai kemahiran dalam merancang sesuatu program secara profesional.