Ekonomi

Fourkay Gold urus niaga emas patuh syariah di Malaysia

BAGI memastikan urus niaga emas mematuhi prinsip Syariah dan undang-undang Islam, Fourkay Gold Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang ditubuhkan pada tahun 2023, telah muncul sebagai syarikat pertama di Malaysia yang menjalankan pembelian emas gadaian dan terpakai dengan mematuhi piawaian syariah sepenuhnya.

Pengiktirafan ini diperoleh melalui Sijil Pematuhan Syariah daripada Elzar Shariah Solution and Advisory, yang diketuai oleh pakar kewangan Islam terkemuka, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman. Pensijilan ini diberikan selepas proses audit menyeluruh dan penambahbaikan terhadap prosedur serta kontrak syarikat.

Ketua Pegawai Operasi Fourkay Gold, Puteri Ainsyah Quraisha Jamalus

Ketua Pegawai Operasi Fourkay Gold, Puteri Ainsyah Quraisha Jamalus, menegaskan bahawa pensijilan ini adalah bukti komitmen syarikat untuk memastikan segala urus niaga dilakukan dengan integriti dan selaras dengan prinsip Syariah.

“Matlamat kami adalah untuk membina perniagaan yang diberkati dan dipercayai. Pensijilan ini membolehkan pelanggan kami berurus niaga tanpa sebarang keraguan mengenai pematuhan syariah,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya Marriott Hotel.

Ketua Pegawai Eksekutif Elzar Shariah Solution and Advisory, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, turut memuji langkah Fourkay Gold sebagai perintis dalam memastikan kepatuhan syariah dalam sektor emas gadaian dan terpakai.

“Dalam jual beli emas, bukan sahaja akad jual beli yang perlu patuh syariah, tetapi juga semua proses di belakang tabir mestilah bebas daripada unsur riba dan amalan tidak sah. Inilah yang memastikan keberkatan dalam urus niaga,” jelas beliau.

Fourkay Gold juga berusaha memastikan pelanggan tidak menjadi mangsa penipuan atau berdepan risiko keselamatan. Mereka menyediakan perkhidmatan pembelian emas gadaian dan terpakai berdasarkan kadar harga pasaran terkini. Setelah persetujuan dicapai, syarikat akan mengaturkan proses transaksi bersama pusat gadaian.

“Kami menerima semua jenis emas tanpa had berat, dengan syarat pelanggan boleh menunjukkan bukti pemilikan yang sah. Emas yang dibeli akan dilebur dan dijual semula kepada kilang untuk diproses,” jelas Puteri Ainsyah.

Sebagai tambahan, Fourkay Gold akan melancarkan perkhidmatan penjualan emas terpakai bermula Mac tahun ini untuk memenuhi permintaan pelanggan. Emas terpakai sering menjadi pilihan kerana ia lebih murah dan bebas daripada kos tambahan seperti upah emas.

“Kami ingin memberikan peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk memiliki emas pada harga yang lebih berpatutan,” tambah Puteri Ainsyah.

Syarikat ini kini beroperasi di kawasan utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Nilai, Seremban, Senawang, Kota Bharu, Johor Bahru, dan Kuala Terengganu, dengan rancangan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan mereka di seluruh negara.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button