FKTK UniMAP anjur program “Industry Days 2023”
Fakultii Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan program “Industry Days FKTK 2023” selama tiga hari mulai 26 Januari.
Program di Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani, Wang Ulu bertujuan memperkasa dan merapatkan hubungan antara industri dan universiti melibatkan 400 mahasiswa tahun akhir dan pascasiswazah universiti itu.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, program ini merupakan platform yang sangat baik untuk pelajar-pelajar tahun akhir yang berkomunikasi terus dengan pihak industri.
Katanya, selain daripada itu, pihak industri juga terlibat dengan proses penilaian projek tahun akhir dan rekabentuk projek industri dan memberi input-input yang baik terus kepada pelajar.
“Dengan akan adanya input dari industri yang terdiri daripada alumni dan industri, pelajar akan menerima komen membina dalam pengukuhan projek tahun akhir dan juga serba sedikit dapat membuka mata akan keperluan industri,” katanya.
Dalam masa yang sama, kemahiran komunikasi, pembentangan, dan pengurusan dapat ditambahbaik,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup program itu.
Turut hadir Dekan FKTK Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah program Ts Dr Azduwin Khasri yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) FKTK.
Sementara itu, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri berkata, ini adalah kali pertama dan julung kalinya program seumpama ini dianjurkan di FKTK yang memfokuskan kepada bidang kimia dan bahan dan ia menjadi detik penting kepada FKTK kerana ia melibatkan secara terus semua pihak baik industri, alumni, warga kerja dan pelajar di dalam satu program.
Ujarnya, pelbagai program diatur antaranya pameran industri, pameran poster projek tahun akhir, poster penyelidikan, ceramah industri oleh Panel Penasihat industri, dan juga sesi temuduga oleh industri yang berminat telah diadakan sepanjang dua hari ini.
“Selain daripada penglibatan industri, alumni FKTK yang berada di industri juga dijemput untuk berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam dunia industri dan memberi tip-tip berguna kepada pelajar yang akan menempuh alam pekerjaan tidak lama lagi,” katanya.
Antara industri yang terlibat ialah ExxonMobil, CIDB Technology, Weldzone Skill Academy, Ann Joo Steel Berhad, Morris Food Industries, Gadang Works, Fuciphagus Agritech, UniMAP Green Tech, Malaysia NPK Fertilizer dan beberapa industri lagi yang terlibat secara dalam talian.
Tambah beliau, dalam masa yang sama, para alumni juga berpeluang memberi khidmat bakti kepada fakulti selepas bergraduat.
Katanya, program ini juga dapat memberikan peluang kepada alumni untuk mencari pengalaman sebagai juri/panel, sebagai wakil kepada syarikat industri masing-masing dan juga sebagai penceramah.
“Selain itu, kehadiran pihak panel industri juga dapat mengeratkan hubungan dua hala antara universiti dan juga industri tersebut,” katanya.
Oleh yang demikian katanya beliqu amat mengalu-alukan penganjuran program seperti ini yang berkonsepkan kreativiti, pemikiran yang kritis dan inovasi. – SM