Ekonomi

FGV-MAIPs jalin kerjasama

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Kumpulan FGV dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited untuk menerokai kerjasama dalam memberikan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf di Perlis.

Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk memberi sokongan dalam pembangunan kemahiran dan penyediaan pekerjaan yang lebih baik kepada golongan asnaf, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Demikian menurut siaran media yang dikeluarkan MAIPs sempena Majlis Persembahan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV bagi tahun 2023 berjumlah RM201,267 yang dipersembahkan ke hadapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Pada majlis berkenaan, turut dilaksanakan penyerahan Surat Niat Kerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf melalui inisiatif strategik yang melibatkan kerjasama antara Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF).

Penyerahan surat niat kerjasama berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor kepada Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holdings Berhad, Abdul Razak Aya yang dihadiri sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis menggambarkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk bersama-sama merangka peluang-peluang baru bagi golongan asnaf melalui aktiviti pertanian di kawasan pertumbuhan pertanian baharu FGV Agro Food-Valley di Chuping, Perlis.

Mohd Nazim berkata, dengan kerjasama ini, diharapkan lebih ramai golongan asnaf dapat diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan menyertai pasaran kerja, seterusnya memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga.

“Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk pengagihan zakat, tetapi juga sebagai langkah awal dalam usaha pemberdayaan komuniti,” jelas beliau.

Buat masa ini, ATAM MAIPs telah menjalinkan kerjasama peluang pekerjaan dengan 23 rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai pihak seperti industri dan pusat latihan dan telah memberikan impak kepada sekitar 1,300 peserta asnaf dari seluruh negeri Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button