Auto Travel

Ferrari 296 GTB kini berada di Malaysia

PENGIMPORT dan Pengedar Rasmi jenama Ferrari di Malaysia, Naza Italia, membawakan keterujaan pemanduan kepada peminat kereta super di Malaysia dengan pengenalan Ferrari 296 GTB pada acara pelancaran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia merupakan evolusi terbaharu Berlinetta dua tempat duduk enjin pertengahan belakang keluaran Maranello dan kereta yang dibina berdasarkan konsep keseronokan pemanduan pancuan roda belakang. Ferrari 296 GTB pasti memberikan pengalaman yang mendebarkan, bukan sahaja apabila memecut kereta tersebut ke hadnya, tetapi juga dalam situasi pemanduan biasa harian.

Sudut tepi Ferrari 296 GTB

“Ferrari 296 GTB bakal menentukan era baharu teknologi elektrik Ferrari dan membawa jenama itu ke tahap baharu yang mendebarkan untuk segmen kereta pacuan roda belakang hibrid pertamanya yang dikuasakan dengan enjin 2.9 liter bentangan V6 120 darjah.

Teknologinya digabungkan dengan kuasa yang besar dan reka bentuk yang menarik, menjadikan 296 GTB sebagai penampakan yang pasti dan kami berbesar hati untuk memperkenalkan model ini kepada pasaran Malaysia,” kata Dato’ Nik Hamdam Nik Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd.

Ruang penyimpanan barang yang kemas

Ferrari 296 GTB membawa revolusi untuk Ferrari apabila ia diperkenalkan bersama enjin baharu yang amat berkuasa yang telah memenangi pelbagai anugerah serta ditambah dengan motor elektrik yang mampu memberikan 122 kW lagi. Ini adalah enjin 6-silinder pertama yang dipasang pada kereta Ferrari; ia mampu menghasilkan jumlah kuasa 819hp yang besar untuk diterjemahkan kepada prestasi yang sebelum tidak dapat mampu dicapai dan anda patut dengar bunyi yang unik yang dihasilkan oleh enjin ini.

Nama model ini dipilih sempena gabungan jumlah anjakannya (2992 l) dan bilangan 6 silinder. Ia disempurnakan dengan penambahan akronim GTB (Gran Turismo Berlinetta) dalam tradisi Ferrari, untuk memberi penekankan kepda kepentingan perubahan zaman enjin baharu ini yang dihasilkan di Maranello. Ia bukan hanya sekadar enjin baharu kepada Ferrari 296 GTB, tetapi ia juga membawa makna kepada era baharu enjin V6 yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar kereta super yang mempunyai pengalaman lebih dari 70 tahun dalam sukan permotoran.

Enjin 2.9 liter bentangan V6 120 darjah Hibrid PHEV

Ini bukanlah model Ferrari V6 pertama, Ferrari V6 pertama sebenarnya mula diperkenalkan pada 1957, dengan enjin 1500cc diberi nama Dino 156 F2 mempunyai tempat duduk tunggal. Ini diikuti pada tahun 1958 oleh versi anjakan yang lebih besar pada prototaip sukan permotoran berenjin hadapan – kereta model 196 S dan model 296 S – dan juga F1, seperti 246 F1 yang memberi kuasa kepada Mike Hawthorn untuk memenangi gelaran Kejuaraan Pemandu F1 pada tahun yang sama.

Ferrari pertama yang menggunakan enjin V6 yang dipasang di bahagian tengah pula adalah model 246 SP yang dikeluarkan pada tahun 1961, yang memenangi Targa Florio pada tahun yang sama dan pada tahun 1962. Juga pada tahun 1961, Ferrari memperoleh gelaran Pembina pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Formula 1 dengan 156 F1, yang dikuasakan oleh enjin V6.

Reka bentuk difuser Ferrari 296 GTB yang agresif

Enjin turbo pertama Ferrari dipasang pada model 126 CK pada tahun 1981 dan seterusnya pada 126 C2 pada tahun 1982, yang menjadi kereta cas turbo pertama untuk memenangi gelaran Kejuaraan Ketegori Pengeluar, Formula 1. Ini diikuti dengan gelaran kedua pada tahun 1983 dengan 126 C3. Akhir sekali, enjin kuasa hibrid turbo V6 telah digunakan pada semua jentera Formula 1 sejak 2014.

Sistem plug-in hybrid (PHEV) Ferrari 296 GTB yang diperkenalkan ini sangat boleh digunakan untuk mencapai jarak 25km dalam mod eDrive untuk kegunaan kuasa elektrik penuh. Dimensi kompak kereta dan pengenalan sistem kawalan dinamik yang inovatif serta aero yang direka dengan teliti memastikan pemandu akan serta-merta dapat merasakan ketangkasan dan responsif yang menakjubkan terhadap cara pemanduan. Reka bentuknya yang sporty dan dimensi yang sangat padat juga menonjolkan reka bentuk moden yang luar biasa. – SM

Reka bentuk moden yang luar biasa Ferrari 296 GTB

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button