HAMPIR tiga bulan hilang pendapatan sehingga terpaksa meluahkannya di media sosial, pemain dram Caliph buskers, Fendy Adlun hari ini mendapat kunjungan istimewa dan sumbangan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun sendiri hadir ke rumah pemuzik tersebut di Sentul untuk menyalurkan bantuan dan membantu Fendy membuat permohonan bantuan yang disediakan kerajaan.
“Alhamdulillah, saya telah menyampaikan bantuan kewangan serta bantuan Bakul Makanan dan pek Ready to Eat buat Fendy.
“Saya juga telah menguruskan permohonan untuk OKU di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berupa Bantuan Kewangan Khas OKU seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 28 Jun lalu,” katanya.
Selain Rina, turut hadir menziarah dan menyampaikan sumbangan ialah Timbalan Menteri Belia & Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurut Rina, bantuan tersebut adalah khusus untuk membantu golongan OKU yang telah kehilanan pekerjaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja OKU atau bantuan bulanan JKM sedia ada.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada semua golongan OKU yang berkelayakan di luar sana agar segera membuat permohonan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup.
Sementara itu, Fendy bersyukur kerana kisahnya telah menjadi tular dan mendapat reaksi segera daripada pihak yang berkenaan.
“Mereka hadir memberi bantuan berupa barangan keperluan harian dan insyaAllah akan membantu saya untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mampu saya duduk bersama anak.
“Terima kasih juga kepada pihak media dan semua yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada saya,” katanya.
Semalam, Fendy menerusi akaun Instagram miliknya memuat naik satu video khas untuk meminta bantuan untuk duduk di rumah PPR kerana tidak mampu membayar sewa rumahnya ekoran kehilangan punca pendapatan.
Menerusi video tersebut juga, Fendy memberitahu yang dia sebelum ini sudah meminta bantuan daripada pihak yang berkenaan namun gagal kerana pejabat tidak beroperasi ketika Covid-19. -SM