Hiburan

FDAM rayu benarkan penggambaran sebelum Aidilfitri

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu kerajaan agar mempertimbangkan permohonan penggiat industri filem dan siri televisyen (TV) untuk menyambung kerja penerbitan terutamanya sesi penggambaran sebelum Aidilfitri ini.

Ini bagi memberi peluang kepada mereka menerima sedikit bayaran sebagai persediaan menyambut perayaan itu, kata Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim mengulas kesediaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mempertimbang permohonan penggiat industri bagi meneruskan kerja mereka.

“Tak perlu tunggu selepas hari raya. SOP (Prosedur Operasi Standard) komprehensif cadangan FDAM sudah diberi kepada KKMM oleh FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

“Masih tak terlambat nak dapat duit raya kalau kelonggaran bersyarat untuk penggambaran diberikan esok (Isnin) atau Selasa ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad berkata beliau bersedia bertemu pihak berkenaan termasuk Majlis Keselamatan Negara pada bila-bila masa jika diperlukan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai SOP penggambaran itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada Khamis lepas berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memutuskan pelaksanaan SOP berkenaan dalam masa terdekat selepas meneliti impak pelaksanaan PKP Bersyarat dan kesan pembukaan semula operasi sektor ekonomi.

Menurut data FDAM, terdapat kira-kira 875 karyawan filem dan TV termasuk 35 ahli FDAM mewakili 35 syarikat penerbitan kehilangan mata pencarian sejak penguatkuasaan PKP mulai 18 Mac lepas. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button