
FCoEE cipta impak besar dalam negara dan global – Raja Perlis
KANGAR 14 Feb. – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa bidang pendidikan. Usaha ini bukan sekadar menyediakan platform pembelajaran, tetapi juga melahirkan generasi muda yang berkemahiran, berakhlak tinggi, dan mampu bersaing di peringkat global.
Baginda menegaskan bahawa dengan niat yang ikhlas dan usaha yang berterusan, FCoEE berpotensi mencipta impak yang besar, bukan sahaja di Negeri Perlis, tetapi juga di seluruh negara dan di mata dunia.
“Sebagai Raja Pemerintah, saya sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan agama. Pendidikan berkualiti adalah keutamaan, bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga dalam pembentukan akhlak dan integriti,” titah Tuanku Syed Sirajuddin.
Pendidikan berkualiti adalah keutamaan, bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga dalam pembentukan akhlak dan integriti
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) serta Program Anjuran FCoEE yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Persiaran Wawasan, Kangar.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
BACA JUGA: Semua perlu pragmatik tangani isu pendidikan, titah Raja Muda Perlis
Dalam ucapannya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin menyatakan bahawa FCoEE kini melangkah ke era baharu dengan pendaftaran rasmi sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ). Pencapaian ini terhasil daripada sokongan penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Ahli Lembaga Pemegang Amanah, serta dedikasi pasukan FCoEE.
Beliau turut berkongsi bahawa sepanjang tahun 2024, FCoEE telah melaksanakan 36 program dengan kerjasama pelbagai agensi dan organisasi, memberi impak besar kepada perkembangan pendidikan di Perlis. Sejak penubuhannya pada tahun 2022, sebanyak 60 program telah dilaksanakan. Kini, dengan status rasmi sebagai SBMJ, FCoEE mampu melaksanakan program dengan lebih menyeluruh dan inklusif.
“FCoEE kini melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan memperkukuh hubungan bersama China, Thailand, dan Indonesia melalui program ilmiah dan lawatan penandaarasan. Dengan misi yang lebih besar, FCoEE komited untuk membina rangkaian global, berkongsi kepakaran, serta meningkatkan kualiti pendidikan,” tambah beliau.
FCoEE kini melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan memperkukuh hubungan bersama China, Thailand, dan Indonesia melalui program ilmiah dan lawatan penandaarasan.
Majlis pelancaran turut menyaksikan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta melawat pameran program utama FCoEE. Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk AI dan Robotic Educational Club (AIREd) serta Junior AiREd, yang memberikan pendedahan kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik kepada murid sekolah menengah serta sekolah rendah di negeri ini.
Tuanku Raja turut menzahirkan harapan agar FCoEE terus menjadi peneraju utama dalam menjadikan Perlis sebagai negeri contoh di Malaysia. Dengan usaha yang berterusan, Perlis bukan sahaja dapat ditempatkan di peta dunia, malah mampu melahirkan anak-anak negeri yang cemerlang dalam akademik serta bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan keyakinan dan jati diri yang kukuh.
GALERI FOTO