Fattah pilih tidak buka pekung, malu anak tengok mummy daddy bergaduh
FATTAH Amin berkata, dia memilih untuk tidak membuka pekung walaupun mengetahui rahsia bekas isterinya, Fazura demi anak mereka.
Selain itu katanya, ia juga sebagai menghormati perjanjian yang termaktub dan dipersetujui di mahkamah.
Dalam nada kecewa, Fattah berkata dia memilih untuk tidak membuka pekung Fazura kerana menghormati perjanjian yang termaktub dan dipersetujui di mahkamah.
“Saya pun ada tahu satu benda fasal dia tetapi kami dah bersetuju untuk tidak mahu buka aib masing-masing.
“Saya pun dah bersetuju tidak memfailkan nusyuz (langgar perintah), jadi jangan buat perkara begini (buka aib),” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam hari ini.
Sehubungan itu Fattah berharap perkara yang boleh mencetuskan spekulasi atau membuka aib tidak sepatutnya disebarkan kepada pihak luar.
Katanya, dia bimbang anak mereka Nur Fatima Aisya berdepan perasaan tidak selesa apabila dewasa dan sudah pandai membaca dan memahami apa yang berlaku antara ibu bapanya
“Memalukan kita semua terutamanya anak saya nanti dia besar tengok mummy dan daddy dia bergaduh, saya tak nak dan kasihankan dia,” katanya.
Perkahwinan Fattah dan Fazura berakhir apabila pelakon itu melafazkan talak satu ketika prosiding kedua sebutan permohonan cerai yang diajukan bekas isterinya.
Sebaik sahaja prosiding selesai dan ketika di luar mahkamah Fazura mengesahkan spekulasi yang pernah dinafikan iaitu Fattah berlaku curang selain culas menunaikan tanggungjawab.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia empat tahun. – SM