LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis telah mencatatkan sejumlah RM132,000 menerusi Jualan Agro Madani Pra Ramadan sehingga semalam (10 Mac).
Pengarahnya, Mohd. Anzara Azizan berkata, jumlah itu diperolehi hasil pelaksanaan jualan ini di 11 lokasi yang melibatkan 70 usahawan.
“Ia juga melibatkan kunjungan pengguna sejumlah 5,000 orang,” katanya kepada sidang media selepas melakukan Walkabout Jualan Agro Madani Pra Ramadan lokasi ke-12 (terakhir) di pekarangan pejabat FAMA Kangar, di Jalan Behor Temak, Kangar hari ini.
Pada Jualan Agro Madani Pra Ramadan ke-12 ini sebanyak 500 kampit Beras Spesial Tempatan, 300 ekor ayam dan Kombo Madani yang ditawarkan telah mendapat sambutan hebat.
Sempena Jualan Agro Madani Pra Ramadan, Mohd Anzara juga mengagihkan kurma percuma kepada 200 pengunjung terawal.
Mohd Anzara berkata, FAMA juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi penganjuran tiga Bazar Ramadan di sepanjang bulan puasa di negeri ini.
Katanya, ia melibatkan lokasi di Tapak Kekal Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Pasar Tani Dataran MAIPs Kangar dan Pasar Tani UniMAP Ulu Pauh.
Beliau berkata, ia akan dibuka pada pukul 3 petang hingga 8 malam mulai 13 Mac di sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, ia melibatkan 132 usahawan yang akan menjual produk makanan dan juga barang keperluan.
Mohd Anzara memberitahu pihaknya merancang untuk melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama MPK di tapak Bazar Ramadan.
Katanya, ini bagi membolehkan golongan yang tidak bernasib baik juga boleh menikmati makanan yang sempurna di bulan mulia ini. – SM