Analisis

Faktor Johari Ghani bantu BN menang di Nenggiri, Mahkota?

MUNGKIN ramai tidak setuju dengan pandangan ini terutama para penyokong UMNO yang merasakan ini akan menggugat kedudukan pemimpin kesayangan mereka.

Tetapi pada sama, faktor kehadiran pemimpin muda, berkredibiliti dan dihormati tidak boleh ditolak dalam mana-mana kempen pilihan raya.

Peranan jentera setempat tidak boleh dinafikan dalam meraih sokongan dan menggerakkan penyokong untuk keluar mengundu. Tetapi, keyakinan terhadap pemimpin yang hadir juga akan turut mendorong terutama mereka di atas pagar untuk memberi sokongan.

Johari Abdul Ghani bukanlah pemimpin yang kerap kelihatan di pentas-pentas ceramah atau mana-mana kempen pilihan raya. Sebabnya dari dahulu lagi beliau terpaksa memberikan fokus lebih 100 peratus kepada kawasannya – Parlimen Titiwangsa – satu-satunya kawasan parlimen yang dimenangi BN/UMNO dalam pilihan raya umum ke-15. Kerusi lain semua BN tewas. 

Makanya, untuk mempertahankan kerusi di ibu negara ini dengan mewakili UMNO/BN bukan sesuatu yang mudah. Kalau mudah sudah tentu ramai pemimpin UMNO lain menang seperti di Setiawangsa dam Wangsa Maju. Tapi mereka kalah. Kerana tidak mudah untuk UMNO/BN menguasai pengundi di ibu negara. Ia memerlukan kerja keras yang berterusan.

Tetapi apabila menjawat jawatan Naib Presiden UMNO, Johari perlu juga turun membantu parti dalam kempen-kempen pilihan raya kecil. Apabila beliau turun ke Nenggiri beliau turun sebagai Johari Ghani. Beliau membawa gaya yang sama ketika bertemu dengan para pengundi dan penyokongnya di Titiwangsa. 

Namun, ketika beliau hadir membantu kempen di Nenggiri, jelas kelihatan penerimaan para pengundi terutama golongan muda. Johari walaupun berimej korporat, tetapi dilihat sebagai pemimpin yang penuh idea dan tidak cakap perkara merapu.

Komen-komen yang dikeluarkan beliau semuanya berasaskan fakta sentiasa mempunyai hala tuju jelas dalam setiap yang diperkatakan.

Mungkin juga para pengundi dan penyokong ingin melihat wajah pemimpin yang baharu. Sebab itu kehadiran Johari menjadikan mereka teruja dan sedikit sebanyak menyumbang kepada sokongan dan kemenangan.

Begitu juga dengan  kehadiran beliau di DUN Mahkota yang mendapat sambutan istimewa. Sudah pasti menyuntik keyakinan kepada para pengundi apabila melihat pemimpin yang ada kredibiliti turun berkempen.

Ini ditambah pula dengan calon-calon muda yang diletakkan di kedua-dua PRK itu lebih memberi keyakinan kepada pengundi yang kadang-kadang sudah penat dengan muka lama atau calon kitar semula. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button