Agama

Fakta yang anda perlu tahu elak ditipu tunaikan haji

SETIAP kali musim haji kita pasti terdengar kisah orang ramai ditipu kerana mahu menunaikan haji.

Orang ramai menjadi mangsa kerana mereka sendiri tidak jelas apa prosedur untuk melaksanakan haji.

Sebenarnya setiap tahun prosedurnya akan berubah, apatah lagi tahun ini ketika seluruh dunia memasuki fasa endemik selepas pandemik Covid-19.

Kali ini sangat ketat dan para jemaah akan diberi gelang dan perlu diimbas ketika memasuki Makkah.

Memandangkan kouta haji dikurangkan separuh bagi mengelakkan kesesakan dan penularan wabak, Malaysia contohnya mendapat kouta sekitar 14,000 jemaah sahaja berbanding 24,000 sebelum ini.

Justeru Tabung Haji mengutamakan jemaah yang tertangguh haji pada 2020 yang lalu.

Bagaimanapun dek kerana syarat ketat seperti berusia kurang 65 tahun dan pemeriksaan kesihatan yang ketat menyebabkan ramai yang tidak dapat pergi menunaikan haji dan diganti dengan jemaah lain.

Kekurangan kouta itu menyebabkan banyak pihak mengambil kesempatan menipu mereka yang mahu menunaikan haji.

Kononnya terdapat visa furada dan sebagainya. Sejauh mana benarnya ada visa furada tidak dapat dipastikan.

Untuk kefahaman visa furada diperolehi dari pihak lain yang berurusan terus dengan kerajaan Arab Saudi atau wakil kerajaan berkenaan.

Ini bermakna ia tidak melalui Tabung Haji sebagaimana kira-kira 14,000 jemaah, walaupun mereka menggunakan pakej swasta.

Kebiasaannya semua jemaah haji Malaysia perlu melalui Tabung Haji untuk diproses dokumen dan diserah kepada syarikat swasta apabila jemaah berkenaan memilih pakej swasta dan bukan muassasah.

Syarikat yang dipilih perlu berdaftar dengan Tabung Haji dan diaudit dengan ketat setiap tahun, bagi mengelakkan penipuan.

Ini bermakna jika mereka yang membayar kepada syarikat yang tidak berdaftar dan visa bukan melalui Tabung Haji, risikonya sangat tinggi.

Antara yang boleh berlaku ialah visa haji palsu dan jemaah haji tidak dapat menunakkan haji.

Kali ini pihak Imigresen Arab Saudi menyediakan pegawainya di KLIA bagi menyelesaikan urusan imigresen di negara ini bagi mengelakkan kesesakan di lapangan terbang di negara berkenaan.

Ini bermakna jika visa palsu, jemaah tidak akan dapat melepasi imigresen di KLIA sekalipun.

Dalam pada itu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pakej haji dan umrah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, itu antara tindakan tegas boleh diambil pihaknya, selain menarik balik lesen atau menyenarai hitam agensi pelancongan itu.

Bagaimanapun Nancy berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau mengesan mana-mana syarikat yang cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam di negara ini mahu menunaikan ibadah berkenaan.

“Kami tidak menerima sebarang laporan berkaitan hal itu. Kita peka mengenai isu itu dan sudah membuat pemantauan. Dulu memang kita ada dengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum lagi.

“Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah jika tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, mengikut terma dan syarat perlesenan itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah yang menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk umrah dan haji.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di situ.

Sementara itu Bernama melaporkan orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penawaran visa furada dengan pakej yang boleh mencecah lebih RM50,000, namun tiada sebarang jaminan visa haji diluluskan kepada pemohon.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sehingga kini Arab Saudi tidak memaklumkan mengenai pengeluaran visa furada musim haji 1443H/2022M dan mereka yang telah membuat pembayaran perlu lebih berhati-hati.

Beliau berkata, TH seringkali mengingatkan risiko haji furada apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menetapkan pelbagai syarat oleh kerajaan Arab Saudi.

Arab Saudi juga mengehadkan hanya sejuta umat Islam menunaikan ibadah haji iaitu 85 peratus melibatkan jemaah di luar Arab Saudi dan 15 peratus lagi khusus untuk mereka yang tinggal di negara itu, namun perlu mendapatkan permit serta melanggan pakej yang telah disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Arab Saudi menawarkan dua pakej kepada rakyat tempatan untuk menunaikan ibadah haji, pakej ini dalam lingkungan harga RM11,000 hingga RM14,000. Saya harap kita memahami suasana ini dan juga kerajaan Arab Saudi telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.

“Ini berlaku secara peringkat antarabangsa dan di Malaysia kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan oleh TH dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Akta TH iaitu kesalahan kerana mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

“Kita dapati telah ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan tersebut, jadi berhati-hatilah,” katanya yang turut menyarankan rakyat Malaysia boleh memilih 20 syarikat agensi pelancongan atau yang dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.

Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej antara harga RM35,000 ke atas dan ia merupakan kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.

Sementara itu, tinjauan Bernama menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

Pihak itu yang dihubungi menerusi WhatsApp juga memaklumkan menyasarkan 80 orang dengan pakej RM38,000 hingga RM56,000 serta meminta bayaran pendahuluan RM15,000 pada kadar segera kononnya untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi.

Meskipun meminta deposit, wakil syarikat itu menegaskan bahawa peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50, dan sekiranya gagal, wang akan dikembalikan pada tempoh yang tidak dapat dipastikan atau pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa berdasarkan resit yang akan diserahkan.

Justeru orang ramai yang telah membuat bayaran visa furada sebaiknya melakukan pemeriksaan lanjut dan sepertimana yan dikatakan Syed Saleh, bimbang bayaran yang dibuat akan hangus begitu sahaja.

Oleh itu berhati-hatilah jangan sampai wang hangus dan haji lebur.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button