Faisal Halim dijangka kembali berlatih dalam tiga seminggu
PEMAIN Selangor FC Faisal Halim dijangka kembali menjalani latihan ringan dalam masa kira-kira tiga minggu, hasil perkembangan positif dalam pemulihannya daripada serangan asid bulan lepas.
Bagaimanapun, dia tidak akan segera kembali berlatih dengan bola, menurut ketua eksekutif Selangor FC Johan Kamal Hamidon.
“Sejak sidang medianya (13 Jun lalu), lukanya sudah kering dan ada perkembangan positif. Dalam dua hingga tiga minggu, dia akan mula kembali ke padang untuk latihan ringan.
“Kecergasannya secara semula jadi menurun, kerana ia adalah pramusim dan dia tidak bermain bola sepak atau melakukan sebarang aktiviti fizikal sejak dua bulan lalu,” kata Johan seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today
Tambahnya, kelab itu tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan Faisal kembali ke padang atau dalam latihan, kerana bimbang menyebabkan kecederaan lain.
“Walaupun kami tahu dia seorang yang kuat, kami tidak boleh mendedahkannya kepada kecederaan yang boleh dielakkan.” katanya
Faisal berada dalam keadaan kritikal selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara bulan lalu, menyebabkan beberapa bahagian badan melecur tahap empat. Polis masih belum menangkap sesiapa atau mengetahui motifnya.
Pemain kebangsaan itu membuat penampilan umum pertamanya sejak kejadian itu pada sidang media dua minggu lalu, kelihatan cedera dan berparut.
Lelaki berusia 26 tahun itu, yang telah kehilangan kira-kira 4kg sejak serangan itu, berkata dia pernah mempertimbangkan untuk menggantung but. – SM