Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berharap insiden pengendali platform media sosial Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan laporan berita pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di platform media sosialnya tidak berulang pada masa hadapan.
Memetik laporan BERNAMA, katanya, pihak platform media sosial perlu menghormati pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat termasuk pelaporan mengenai sebarang kenyataan oleh anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri.
“Alhamdulillah. Kita harap tidak berulang. Pada Jun nanti, insya-Allah saya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform untuk memberi penegasan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, dengan kepimpinan yang ada kami mempunyai pendirian yang sangat jelas dalam beberapa perkara,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan pengendali platform media sosial itu yang memuat naik kembali hantaran itu.
Terdahulu, media melaporkan Meta kembali memuat naik laporan berita pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas di platform media sosialnya yang diturunkan sejak kelmarin.