PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengurusan pengetahuan di dalam sesebuah organisasi baik kerajaan mahupun swasta adalah untuk memastikan maklumat yang betul boleh didapati melalui format yang ringkas oleh pekerja untuk mencapai objektif yang diperlukan oleh organisasi masing-masing.
Baginda bertitah, maka ia dapat membentuk satu pengalaman dan boleh digunakan untuk membuat keputusan yang lebih berkesan.
Titah Baginda, organisasi itu juga akan lebih bersifat dinamik, progresif dan yang paling utama ialah pihak pengurusan atasan bukan lagi semestinya merupakan pihak utama yang menentukan segala dasar, polisi dan arah tuju sesebuah organisasi itu.
Baginda bertitah, ia kini lebih bersifat kolektif iaitu hubungan strategik antara majikan dan pekerja.
“Jika golongan pekerja diberikan kebebasan di dalam melaksanakan tugas-tugas, mereka akan dapat menggunakan segala potensi diri yang berupaya menggerakkan organisasi tersebut menuju matlamatnya,” titah Baginda dalam kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Padang Besar bagi menjejaki dan menyantuni asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah berkenaan baru-baru ini.
Keadaan cuaca yang hujan tidak menghalang pasukan kayuhan yang disertai oleh ketua-ketua agensi Negeri dan Persekutuan bagi menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Penerima bantuan terdiri dari Fadzaillah Mohd Dali, 72 dan Bedah Yahaya, 87 dari Kampung Rimba Mas dan ketiga pula Hasni Saad, 53 dari Kampung Kolam.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras fidyah, serta bekalan makanan mentah kepada ketiga-tiga asnaf ini.
Pada akhir program Baginda berkenan singgah dan meninjau projek kawasan membeli-belah Pavilion Padang Besar yang akan beroperasi tidak lama lagi. – SM