Nasional

Faham fakta Parti Komunis Malaya agar tidak terpesong, titah Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan generasi muda agar memahami fakta perjuangan ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) agar tidak mudah terpesong dan keliru dengan perjuangan kumpulan pengganas tersebut.

Tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah, perjuangan PKM tidak berlandaskan kepada konsep pembentukan sebuah negara Malaysia merdeka berteraskan demokrasi Raja Berperlembagaan.

“Fakta perjuangan ideologi PKM ini adalah satu fakta sejarah yang perlu generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar tidak terpesong dengan fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka.

“Melalui fakta sejarah juga kita dapat menghargai pengorbanan yang begitu besar yang sudah dilakukan pasukan polis atau tentera kita, terutamanya ketika negara diancam PKM sekitar tahun 40-an hingga 70-an,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya yang ke-74 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin bertitah, ramai rakyat negara ini terdiri kaum Melayu, Cina, India dan kaum lain terkorban akibat serangan pengganas komunis.

Titah baginda, kehidupan rakyat ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM.

Sultan Sharafuddin berkata melalui fakta sejarah juga, rakyat dapat menghargai pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan negara sama ada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau tentera terutama ketika negara diancam PKM pada sekitar tahun 40an hingga 70an.

“Begitu ramai pasukan keselamatan kita yang telah terkorban dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara daripada anasir komunis ini, ramai rakyat negara ini yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain juga turut terkorban akibat serangan pengganas komunis.

“Kehidupan rakyat pada ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM ini dan banyak perkampungan dan balai polis telah diserang, rakyat dan anggota polis dibunuh dan diseksa oleh anggota PKM ini,” titah baginda.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tindakan sekumpulan rakyat Malaysia membawa balik abu mayat bekas ketua pengganas PKN Chin Peng dan menaburkannya di kawasan hutan dan laut di negara ini.

Beberapa hari kemudian berlangsung majlis mengenang ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai 1989 yang diadakan di Kajang, Selangor.

Majlis itu turut disertai bekas anggota pengganas PKM serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu, bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar.

Polis telah memulakan siasatan terhadap kedua-dua acara itu dan telah mengambil keterangan beberapa individu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button