‘Esok atau lusa saya umum kelonggaran’ – PM
Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada penerima lengkap dua dos vaksin sama ada pada esok atau lusa bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa kelonggaran telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dimuktamadkan tidak lama lagi.
Katanya, antara kelonggaran yang dipertimbang MKN termasuk kebenaran rentas negeri dan daerah bagi berjumpa ahli keluarga, makan di premis serta menjalani aktiviti sukan atau sosial tertentu.
“Esok atau lusa saya buat pengumuman, ini yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang sudah dapat dua dos, saya pun sudah dapat dua dos tetapi masih tersekat kerana kita belum lagi umum apa-apa kelonggaran seperti contoh rentas negeri atau daerah nak jumpa ibu bapa atau suami isteri yang terpisah.
“Itu kita akan putuskan sehari atau dua hari dari sekarang, di samping itu sektor-sektor sosial yang orang tunggu juga (iaitu) ‘dine in’ nak duduk bersama keluarga, suami isteri.
“(Bila) kita umum nanti, restoran boleh dibuka dan kedai-kedai lain juga boleh dijadikan tempat untuk kita beli dan berbelanja,” katanya ketika ditemui di Felda Batu 27 Lenga di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di penempatan itu di samping menyampaikan barangan basah kepada masyarakat Felda Maokil.
Namun, Muhyiddin mengingatkan meskipun kelonggaran akan diumumkan, masyarakat masih perlu menyedari bahawa negara masih belum mencapai nilai ambang yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Tetapi saya cuma nak ingatkan kita belum sampai nilai ambang atau imuniti kelompok walaupun ada keterbukaan, ini kita nasihat kerana warga kita masih belum divaksin 100 peratus.
“Bagaimanapun saya berharap ada keselesaan dan masa untuk masyarakat beriadah, bersukan main tenis, badminton, golf atau pun berkunjung ke gimnasium. Ini semua dipertimbang MKN dan setuju pada dasarnya cuma belum umum,” katanya.