Enjin kereta api terbakar di Pasir Mas
KOTA BHARU: Enjin kereta api ekspres menghala dari Tumpat ke Johor Baru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada malam Selasa.
Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Shapawi Setapa bagaimanapun berkata kesemua 180 penumpang kereta api itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku pada 9.44 malam itu.
Beliau berkata anggota bomba dari Balai Pasir Mas dan Tanah Merah telah dihantar ke lokasi kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran pada 1.44 pagi hari ini.
“Anggota bomba itu dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela dari Rong Chenok dan anggota dari balai polis Tok Uban,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Shapawi berkata, kereta api itu kemudian dibawa ke stesen kereta api Pasir Mas.–BERNAMA