JenayahNasionalNegeri

Enjin bergalah, bubu naga bernilai RM15,000 dirampas

MASIH ada nelayan degil. Masih sanggup ambil jalan mudah dengan menggunakan bubu naga yang diharamkan kerajaan bagi menjaga ekosistem hidupan laut.

Terbaharu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang disyaki Bot Nelayan Tempatan (BNT) di kedudukan 0.47 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Kuala Perlis, kelmarin.

Nelayan tempatan ditaham bersama bubu naga yang digunakan menangkap ikan. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Penahanan ini telah membongkar perbuatan nelayan yang menggunakan bubu naga untuk menangkap ikan.

Sekaligus ini membuktikan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini akan terus diawasi oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman/Op Tiris 2.0 di sekitar perairan Perlis sekitar pukul 10.40 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Kuala Perlis dan dikemudikan oleh seorang tekong warganegara tempatan yang berumur 26 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Hashim berkata, enjin bergalah dan 8 set bubu naga ini dianggarkan bernilai hampir RM15 ribu telah dirampas.

Katanya, barang rampasan serta seorang tekong dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11(3)(c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999. – SM

BACA JKDM tumpaskan seludup ganja RM649, 300 di Kuala Perlis

BACA IPD Padang Besar berkas dua lelaki cuba seludup petrol subsidi

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button