Ekonomi

Energy Exchange Malaysia ditubuhkan bagi perdagangan tenaga boleh baharu

Selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif
integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid, Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran.

Urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform ENEGEM ini akan dilaksanakan berpandukan “Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES)” terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura menerusi platform ENEGEM.

Pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan
dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW) menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Intipati pelaksanaan proses bidaan bagi pembelian bekalan elektrik hijau di bawah projek rintis ini adalah seperti berikut:

a) skim perintis ini adalah terbuka kepada Pembida Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang mempunyai lesen penjanaan dan/atau lesen peruncitan bekalan elektrik untuk pasaran Singapura;

b) Pembida TBB yang berminat perlu berdaftar dengan Single Buyer untuk menyertai proses bidaan yang dilaksanakan;

c) Pembida TBB yang memohon untuk didaftarkan akan dinilai menerusi proses pra-kelayakan. Mereka yang berjaya akan mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian BekalanElektrik Hijau pada hari bidaan;dan

d) Pembida yang berjaya akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu (RE Supply Agreement) dengan Single Buyer untuk urusniaga bekalan elektrik hijau yang telah berjaya dibida.

Pembida TBB yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) atau Single Buyer mulai 16 April 2024.

PETRA yakin pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM ini akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang TBB yang lebih luas melalui perdagangan TBB merentas sempadan antara negara ASEAN. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button