empowerNCER Akademik @Perak guna YouTube aplikasi sistem pembelajaran ‘hybrid’ lestari medan ilmu
Ketika pandemik COVID-19 melanda dunia dan negara, kerajaan bertindak mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehubungan itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan demi memastikan ilmu dapat disampaikan dengan baik walaupun terdapat halangan yang mematahkan semangat kita.
Justeru, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan menjayakan “YouTube Live empowerNCER Akademik @Perak” menerusi program empowerNCER Akademik @Perak.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang juga Pengarah Projek empowerNCER Akademik @Perak,Prof Dr Norkhalid Salimin berkata program “YouTube Live empowerNCER Akademik @Perak” dilaksanakan sejak tahun 2021 ketika dunia terkesan oleh pandemik Covid-19 sehingga kini.
Katanya, program itu menyasarkan pelajar yang akan menduduki peperiksan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memberi fokus terhadap lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.
“Insentif yang dilaksanakan ini memberi impak yang positif kepada pelajar berikutan pelajar mampu menambah ilmu pengetahuan serta menjadikan media sosial dan kemudahan internet sebagai medium pilihan yang lebih baik dan menjimatkan, “ katanya.
Sementara itu Timbalan Pengarah Program empowerNCER Akademik @Perak, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril, berkata program yang dilaksanakan pada tahun 2019 hingga kini itu, disertai seramai 2750 murid SPM dan 1800 murid orang Asli daripada tujuh daerah iaitu Daerah Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak telah terpilih.
Katanya, oleh kerana akaun empowerNCER Akademik@Perak adalah akaun rasmi yang digunapakai sepanjang program berlangsung, maka secara tidak langsung semua murid di seluruh Malaysia mendapat manfaat dari program yang dianjurkan sekali gus mencapai matlamat UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu di Malaysia.
“Program ini adalah inisiatif kedua-dua pihak dalam memastikan ilmu menjadi media hubungan yang positif diantara UPSI dan masyarakat amnya.
Selain itu, katanya, penceramah yang dipilih untuk pelaksanaan program YouTube Live adalah daripada kalangan guru yang berpengalaman dalam subjek masing-masing dan terdapat juga guru cemerlang serta pernah menjadi penggubal soalan SPM.
Penceramah berkongsi tips dan info terkini berkaitan format soalan dan jawapan, cara mengaplikasikan pemikiran yang kritis serta cara untuk mendapatkan markah dalam soalan tertentu.
Beliau berkata media sosial memberi dampak besar terhadap kehidupan remaja dalam era globalisasi ini, malah soal selidik yang dibuat oleh American Academy of Child and Adolescent Psychiatry pada tahun 2018 mendapati 90 peratus remaja berusia dalam lingkungan 13-17 tahun telah menggunakan media sosial.
Kajian juga mendapati 75 peratus remaja mempunyai sekurang-kurangnya satu profil media sosial yang aktif, dan 51 peratus remaja mengunjungi laman media sosial sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.
Justeru, katanya, program itu memberi kesan positif kepada pelajar untuk menggunakan media sosial dengan sihat bagi memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta minda yang kritis.