Empat kereta terbakar dalam dua kejadian
Empat buah kereta dilaporkan terbakar dalam dua kejadian berasingan di ibu negara awal pagi tadi.
Kebakaran pertama melibatkan tiga buah kereta yang ditletakkan di bahu jalan di Jalan Putramas Off Jalan Kuching.
Komander Operasi, S. Thirugaiyah Saminathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.19 pagi.
“Operasi pemadaman dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bersama BBP Sri hartamas dengan anggota seramai 18 orang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat tiga buah kereta telah musnah terbakar dan tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, satu lagi kebakaran melibatkan sebuah kereta yang diparkir berlaku di Blok F, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Jalan Kampung Pasir.
BACA> Pencarian 2 lagi mangsa hilang bot dibadai ribut diteruskan
Komander Operasi, Salmi Abdul Mukti berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-ira pukul 4.24 pagi.
“Tiga jentera telah dikerah ke lokasi kejadian iaitu dari BBP Pantai dan BBP Seputeh dengan kekuatan anggota sebanyak 19 orang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati terdapat sebuah kereta yang diletakkan berhampiran tempat pembuangan sampah terbakar.
“Kemusnahan kereta dianggarkan sebanyak 30 peratus dan kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” jelasnya.
Punca kebakaran bagi kedua-dua kes tersebut masih lagi dalam siasatan.