Elon Musk ingin buat bahtera Nabi Nuh, bawa manusia ke Marikh
PENGASAS SpaceX, Elon Musk merancang untuk membuat roket bernama ‘Future Noah’s Ark’ yang diinspirasikan daripada kisah Nabi Nuh untuk membawa manusia dari bumi ke Marikh.
Selain itu, jutawan yang berusia 50 tahun itu juga mempunyai matlamat untuk membina ‘bandar berdikari’ di Marikh untuk haiwan, manusia dan tumbuhan.
“Matlamat utama adalah untuk menjadikan kehidupan berbilang planet dan membolehkan manusia menjadi tamadun pengembaraan angkasa lepas,” kata Musk dalam temu bual dengan majalah TIME.
Dalam pada itu, Musk mengaitkan tanda-tanda akhir bumi dengan Bahtera Nuh Futuristik.
“Dan perkara besar seterusnya ialah membina sebuah bandar yang berdikari di Marikh dan membawa haiwan dan makhluk bumi ke sana. Sejenis bahtera Nuh yang futuristik,” katanya.
Musk juga kerap kali menyatakan harapanya untuk membantu manusia pergi ke Marikh apabila sumber bumi semakin berkurang dan perubahan iklim yang memburukkan lagi keadaan.
Boleh dikatakan secara saintifik, idea Musk untuk membawa kehidupan ke Marikh adalah berlebihan.
Selain itu, atmosfera CO2 Marikh menjadi penghalang kepada penjajahan kerana haiwan dan manusia bumi perlu menghirup oksigen untuk terus hidup.
Sementara itu, idea Musk untuk membawa Bahtera Nuh Futuristik ke Marikh telah menjadi bahan ejekan oleh sebilangan saintis.
Sesetengah saintis berpendapat bahawa impian Musk sukar dicapai dan mengambil masa berabad-abad untuk dilaksanakan.
Seorang saintis yang berpangkalan di Los Alamos, New Mexico, Roger Wiens berkata, Marikh yang mempunyai atmosfera CO2 mungkin hanya boleh menjadi tempat untuk menanam tumbuhan tetapi tumbuhan mesti hangat dan disiram.
Tambahnya, Marikh akan dianggap dahsyat jika dijadikan tempat menternak haiwan kerana haiwan memerlukan oksigen untuk bernafas.
“Manusia mungkin cukup bijak untuk menggunakan sistem pernafasan oksigen tetapi adakah haiwan itu cukup pintar untuk menyesuaikan sistem sedemikian? Saya tidak fikir begitu. Ia akan berakhir dengan banyak haiwan mati,” katanya.-SM