Elizabeth Tan mohon maaf, akui sudah bergelar isteri semalam
Bapa muat naik gambar perkahwinan Lizzy
PENYANYI Elizabeth Tan akhirnya mengaku yang dia telah bergelar isteri orang dalam satu majlis kecil yang diadakan semalam.
Penyanyi itu berkahwin dengan seorang usahawan berbangsa Cina yang dikenali sebagai Siew Jim, 30.
Pelantun lagu Semua Sudah itu turut memohon maaf kepada semua kerana berita mengenai perkahwinannya telah tular sebelum dia sempat mengeluarkan kenyataan.
“Saya memang rancang nak buat pengumuman kepada semua apabila sudah bersedia.
“Saya ambil keputusan untuk tidak menghebohkan isu perkahwinan ini adalah kerana ia isu kecil sahaja,” kata Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy.
Dalam pada itu, Lizzy juga mengaku, gambar dan video perkahwinan yang memaparkan dirinya bersama pasangannya adalah benar.
Ujarnya, majlis itu diadakan secara kecil-kecilan sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Hanya 10 orang tetamu yang juga merupakan ahli keluarga dan kenalan rapat Lizzy yang hadir pada majlis tersebut,” katanya.
Jelasnya lagi, perkahwinan adalah sesuatu yang sangat peribadi untuknya dan dia memohon maaf kerana tidak dapat menjemput ahli keluarga serta rakan media.
Tambahnya, memilih untuk berkahwin tidak mengubah apa-apa pada dirinya. Dia juga berharap supaya semua dapat menerima dan menghormati keputusannya.
Pagi tadi, tular video dan gambar yang menunjukkan video perkahwinan Lizzy bersama pasangannya.
Desas desus mengenai perkahwinan itu mula bertebaran selepas bapanya sendiri yang memuat naik gambar di laman sosial. -SM