El Nino dijangka burukkan lagi keadaan jerebu di Malaysia
FENOMENA El Nino dijangka berlaku di Asia Tenggara pada bulan depan dan akibat cuaca lebih panas dan kering dijangka memburukkan lagi keadaan jerebu di rantau itu.
Di Malaysia, kualiti udara menurun ke tahap tidak sihat di bahagian Semenanjung Malaysia bulan lepas. Terdapat juga laporan mengenai jerebu rentas sempadan oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN di pelbagai tempat di Myanmar, Thailand dan Laos bulan lepas.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata semasa peristiwa El Nino, perubahan kelajuan angin bergerak ke arah barat di sepanjang khatulistiwa menyebabkan suhu permukaan lautan menjadi lebih panas.
Beliau berkata El Nino dikaitkan dengan pengurangan hujan di bahagian tertentu Asia Tenggara termasuk Malaysia dan peningkatan kekeringan membuatkan kemungkinan kebakaran berlaku termasuk di hutan dan kawasan di mana aktiviti pembersihan tanah berlaku. Kebakaran itu mengeluarkan sejumlah besar asap dan bahan pencemar ke atmosfera, mengakibatkan keadaan berjerebu.
“Malah, El Nino boleh memanjangkan musim kemarau. Musim kemarau yang berpanjangan meningkatkan peluang kebakaran berlaku dan berterusan, sekali gus memburukkan lagi keadaan jerebu,” tambahnya. -SM