PEMANGKU Raja Perlis bertitah, ekopelancongan tidak hanya memberi manfaat kepada para pengunjung, tetapi ia juga memberi kesan yang positif terhadap komuniti setempat.
Baginda bertitah, melalui ekopelancongan juga, masyarakat setempat boleh menjana pendapatan melalui kegiatan ekonomi; sebagai contoh; menjadi pemandu pelancong, menjalankan perniagaan makanan dan minuman berasaskan warung, mendirikan homestay dan sebagainya.
“Ia juga boleh menggalakkan golongan belia tempatan menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan bagi menjana pendapatan yang turut dapat memperkasakan lagi aktiviti komuniti mereka,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Wang Kelian, Perlis – The Forgotten Valley” anjuran Roots and Shoots Malaysia, Perlis Nature and Wildlife dengan sokongan Think City, The Habitat Foundation dan Jabatan Perhutanan Perlis di Hotel Putra Brasmana pagi ini.
Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni dan Pengasas dan Ketua Perlis Nature & Wildlife Syamil Abd Rahman.
Baginda bertitah, melalui projek ini juga keindahan alam semulajadi, keunikan kepelbagaian biologi serta keistimewaan warisan sejarah tempatan Wang Kelian, Kaki Bukit dan Taman Negeri Perlis dapat dizahirkan di dalam bentuk buku, pameran dan juga dokumentari.
“Tempat-tempat ini memiliki pelbagai jenis tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma yang unik dan jarang ditemui di negeri lain,” titah Baginda.
Baginda bertitah, projek ini juga berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan merancakkan lagi industri ekopelancongan di Perlis.
Baginda berharap melalui projek ini, masyarakat setempat di Wang Kelian dan Kaki Bukit akan terus berusaha keras lagi bagi mengambil kesempatan untuk melibatkan diri secara serius dalam kegiatan-kegiatan ekonomi industri ekopelancongan supaya kelestarian alam flora dan fauna akan terus terpelihara dan dikekalkan untuk generasi yang akan datang. – SM
BACA Ekopelancongan tarik ramai berkunjung ke Perlis – Raja Muda