Ekonomi

Ekonomi digital bakal sumbang 25.5 peratus KDNK menjelang akhir 2025

MENJELANG akhir tahun hadapan 25.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bakal disumbangkan oleh sektor Ekonomi digital.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pada masa ini sektor itu menyumbang 23 peratus kepada KDNK.
Katanya, kemungkinan juga prestasi dicapai dalam tempoh itu lebih tinggi berbanding yang disasarkan memandangkan kerajaan telah mengambil langkah penyediaan infrastruktur menyeluruh seperti memperluaskan capaian Internet bagi memudah orang ramai mengaksesnya.
“Ia bergantung kepada kepantasan teknologi yang kita gunakan dan usaha kita ke arah meningkatkan ekonomi digital negara. Tetapi saya rasa itu adalah satu perkara yang boleh kita capai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan MYDINPay di Mydin Subang Jaya di sini, pada Selasa.
Ketika berucap Gobind berkata, ekonomi digital yang kini sedang berkembang pesat mempunyai potensi besar untuk membantu melonjakkan Malaysia ke persada ekonomi dunia, sekali gus menjana pendapatan negara.
Oleh itu katanya, pemain industri yang lain untuk mencontohi langkah MYDIN mengadaptasi dan bergerak seiring perkembangan ekonomi semasa, serta menjadi penyuntik kepada perkembangan ekonomi digital negara.
Sementara itu Pengarah Urusan MYDIN Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata inisiatif yang dilancarkan hari ini mempamerkan kesediaan MYDIN berubah ke era digital dan membuktikan komitmen syarikat itu terhadap landskap fintech yang berkembang pesat.
“Kami komited dalam memastikan pelanggan setia mendapat pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan dengan inovasi perniagaan yang memberi kemudahan kepada mereka.
“Kami berada di persada perniagaan lebih enam dekad, justeru kami perlu terus menyesuaikan perniagaan mengikut perubahan semasa kerana keperluan pelanggan sentiasa berubah. Integrasi penyelesaian fintech canggih ini bertujuan menjadi penanda aras baharu untuk kemudahan runcit dan penglibatan digital,” katanya.
Bersempena pelancaran ini, MYDINPay menawarkan baucar RM5 kepada 1,000 pengguna aplikasi yang terawal sementara 3,000 pelanggan pertama yang membelanjakan RM150 ke atas dengan aplikasi tersebut di mana-mana cawangan MYDIN layak menikmati pulangan tunai sebanyak lima peratus. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button