Eina Azman, suami dapat vaksin kerana dalam kategori berisiko tinggi
Selebriti Datin Paduka Eina Azman dan suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah disahkan tidak ‘potong barisan’ suntikan vaksin.
Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr. Abdul Malek Osman berkata, pasangan tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat mereka.
Pasangan suami isteri itu dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi.
‘Berdasarkan semakan, kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan rujukan doktor pakar yang telah merawat pasangan ini atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi oleh mereka.
“Tiada isu ‘potong barisan’ dalam pemberian suntikan vaksin ini dan pasangan ini dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat dotor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi,” katanya.
Eina Azman dan suami menerima suntikan Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Permaisuri Bainun pada 25 Mei lalu.
Perkongsian Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, bersama placard ‘saya sudah divaksin’ menjadi tular di media sosial.
Suntikan tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan warganet dan mendakwa mereka memotong giliran pengambilan vaksin sekaligus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa dari 25 Mei hingga 7 Jun ini.
Malah ada warganet yang bertanya di mana pasangan itu mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
“Hebat tak? Orang lain tunggu appointment beratur dekat PPV (Pusat Pemberian Vaksin). Eina Azman ambil direct dekat Hospital Ipoh,” komen lain pengguna.
“Best ke potong ‘que’, kami yang orang Perak pun tak dapat lagi. Mak ayah yang dah tua pun tak dapat lagi. Ni nak marah ni!,” antara komen pengguna lain.
“Hai nak tanya macam macam boleh dapat vaksin di Ipoh? Kongsi la tip,” sindir warganet lain pula.
Menyedari perkara itu amat sensitif dan boleh menimbulkan perdebatan hangat, ibu kepada sepasang kembar itu bertindak memadamkan hantaran terbabit tidak berapa lama kemudian.-SM