ECRL kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pertumbuhan Asia Tenggara
SEBAGAI orang awam kita teruja bila mendengar berita kereta api Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL akan memendekkan perjalanan kepada hanya empat jam.
Berbanding ketika ini terpaksa meredah kesesakan tak kunjung putus ketika pulang cuti umum, ini pastinya satu berita yang menggembirakan.
Walaupun tren itu dijangka memulakan operasi tiga tahun lagi, namun masing-masing sudah dapat membayangkan betapa mudahnya perjalanan itu nanti.
Mungkin sudah mula merancang untuk kerap ‘makan angin’ ke pantai timur atas faktor itu dan ada juga yang mahu melebarkan perniagaan ke wilayah berkenaan.
Tapi percayalah apabila tiba masanya, semua itu tidak akan berlaku selamanya. Apabila mudah diakses ia menjadi tidak lagi menarik. Jika alasan untuk menikmati makan pantai timur, di Shah Alam sahaja penuh dengan restoran yang menjual makanan dari pantai timur.
Yang harus difikirkan ialah peniaga-peniaga di laluan jalan raya ke pantai timur akan mula lengang kerana ramai memilih menaiki kereta api yang lebih selesa.
Bagaimanapun apa yang dilaksanakan oleh kerajaan bukan hanya tujuan mobiliti dan pelancongan tempatan sahaja, tetapi ia melihat lebih besar daripada itu.
ECRL adalah sebahagian inisiatif laluan rel dan jalan raya oleh kerajaan China bagi menguasai perdagangan antarabangsa sekaligus berada di hadapan Amerika Syarikat dan Eropah.
Manfaatnya bukan sahaja akan dinikmati oleh China, tetapi juga Malaysia dan rantau ini.
Justeru baru-baru ini perjanjian usaha sama telah ditandatangani antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction ECRL (CCCECRL) untuk menyelia operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 km yang akan menghubungkan Kota Baru, Kelantan dengan Pelabuhan Klang.
Perkongsian yang baru dibentuk itu akan menubuhkan syarikat operasi baharu dengan kedua-dua pihak memegang kepentingan dan tanggungjawab yang sama untuk risiko operasi, termasuk defisit kewangan.
Syarikat China membina landasan ini dan mereka perlu mengambil beban risiko dalam operasinya, walaupun untuk mendapat keuntungan jangka pendek bagi sektor rel adalah sukar.
Namun Malaysia melalui perjanjian itu kedua-dua pihak akan berkongsi kerugian 50:50, tetapi Malaysia akan mengambil 80% daripada semua keuntungan, dan China hanya akan mengambil 20%.
Malaysia Rail Link juga mengesahkan bahawa 80% tenaga kerja operasi dan penyelenggaraan untuk ECRL akan diperoleh dari dalam negara, dan ECRL adalah kira-kira 76.06% siap setakat bulan lepas.
Reka bentuk kereta api unit berbilang elektrik (EMU) baharu juga telah diumumkan melalui firma China CRRC Dalian, dan tren enam gerabak itu direka untuk membawa sehingga 430 penumpang dan akan dilengkapi untuk menampung orang kurang upaya.
Kira-kira 11 set kereta api EMU telah diperuntukkan CRRC Dalian, dan set kereta api pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025
Kereta api ini akan bergerak pada kelajuan 160km/j dan akan mula beroperasi pada Januari 2027, berjalan dari terminal Kota Baru ke terminal Gombak, perjalanan yang mengambil masa kira-kira empat jam.
CRRC Dalian juga komited untuk menghantar dua tren E-Loco untuk kargo dan untuk pemasangan mereka di depoh kereta api ECRL di Bandar Pelabuhan Kuantan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan penyertaan tempatan dalam program itu dan sebagai sebahagian daripada inisiatif pemindahan teknologi.
ECRL ialah projek dan pemilik aset ECRL. MRLSB ialah syarikat kenderaan tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.).
China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) ialah kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) untuk Projek ECRL.
Rangkaian rel ECRL akan menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor.
Infrastruktur nasional yang akan membantu menghubungkan bandar dan pekan, dan menaik taraf pengangkutan awam di kawasan luar bandar. Rangkaian rel elektrik yang akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Dalam beberapa lawatan kerja sebelum ke Eropah juga menyaksikan syarikat-syarikat di Eropah tertarik dengan inisiatif berkenaan kerana ia memberi peluang untuk syarikat mereka meneroka pasaran baharu.
Dengan melabur di Malaysia mereka mengurangkan risiko dan produk dihasilkan akan dapat dipasarkan ke pasaran baharu terutama ke Asia Barat.
Pelabuhan baharu dan pengangkutan baharu ini melengkapkan lagi tarikan Malaysia yang kini terletak di tengah-tengah rantau Asia Tenggara yang sedang membangun pesat.
Malaysia berjiran dengan Singapura yang terkenal penyelidikan dan pembangunan, Indonesia pula mempunyai tenaga kerja yang banyak, begitu Thailand pesat pembangunan industri.
Kelebihan Malaysia kerana dasar yang tepat dengan keperluan pelabur dan keadaan politik yang stabil.