ECH World Wide Energy dan Quinton Capital mengumumkan perkongsian strategik dengan CIP Software Jepun
Quinton Capital Sdn Bhd, sebuah cabang syarikat pelaburan Quinton Group bersama ECH World Wide Energy (M) Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian perkongsian strategik dan mengumumkan kerjasama perniagaan
dengan CIP Software Corporation Jepun di M Summit Hotel pada kebelakangan ini.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECH, Eng Chin Heng dan Pengarah CIP, Profesor Takashi Yabe, sementara disaksi oleh Pengarah Urusan Quinton Group, Dato Dr Kenny Tan dan Pengarah ECH, Profesor Yoshitaka Matsushima. Melalui perkongsian perniagaan strategik ini, ECH, Quinton Group dan CIP akan
bekerjasama untuk menerajui pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Usahasama ini adalah sejajar dengan matlamat negara untuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.
Bidang kerjasama yang dipersetujui merangkumi pengeluaran bateri magnesium serta pembangunan pelan strategik untuk menyediakan tenaga boleh diperbaharui melalui penyahgaraman air dan teknologi penapisan laser.
Profesor Takashi Yabe merupakan ahli sains di Tokyo Institute of Technology (TIT). Beliau terkenal dengan usaha penyelidikan yang meluas untuk mengkaji penggunaan magnesium sebagai sumber alternatif bersih yang menggantikan bahan api fosil. Majalah TIME telah melantik Yabe sebagai penginovasi bagi “Heroes of Environment 2009”.
“CIP berpegang teguh pada misi untuk menyumbang dan mewujudkan masyarakat mampan yang bebas karbon melalui penggunaan kuasa magnesium. Dengan perasaan teruja, saya mengumumkan bahawa teknologi yang berjaya dicipta ini kini menuju ke peringkat penggunaan praktikal.” Profesor Takashi Yabe berkata.
Perjanjian perkongsian ini merangkumi pemilikan hak eksklusif ECH dan Quinton Capital untuk menggunakan teknologi yang dipaten oleh CIP dalam pembangunan dan pengedaran bateri magnesium, penyahgaraman air serta peralatan penapisan laser di sebanyak 13 buah negara Asia. Penubuhan kilang untuk menghasilkan tenaga mampan yang bakal menguntungkan bidang pelaburan turut menjadi keutamaan bersama.
“Pembinaan infrastruktur tenaga baharu memerlukan modal serta kemahiran teknikal yang mencukupi. Kedua-dua syarikat CIP dan ECH berkomitmen untuk berkongsi teknologi eksklusif, pengalaman dan kepakaran melalui inisiatif bersama. Usahasama ini bakal menerokai pembangunan tenaga mampan serta meningkatkan keberkesanan penggunaan tenaga yang lebih bersih.” kaT Chin Heng.
Quinton Group berusaha untuk mengembangkan ekosistem perniagaan ke arah industri tenaga boleh diperbaharui.
Syarikat akan fokus pada usaha mempercepatkan perlaksanaan nilai ESG (Persekitaran, Sosial, Urus tadbir) dengan menggunakan teknologi tenaga boleh diperbaharui miliki CIP, bergabung dengan pengalaman ECH dari segi pembangunan antarabangsa dalam bidang penjanaan kuasa, kejuruteraan, dan tenaga boleh diperbaharui.
Selari dengan pengumuman Bajet 2023 yang memperuntukkan RM1 bilion di bawah Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah bagi golongan PKS, pembentukan hubungan perkongsian ini tepat pada masa dan berpotensi untuk mengukuhkan daya tahan perniagaan, menyokong peralihan yang mampan, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk perlaksanaan projek hijau.
“Tenaga boleh diperbaharui semakin berkembang pesat dalam pasaran antarabangsa. Sekiranya ingin memimpin pasaran, usahasama daripada pakar industri amatlah penting untuk membangunkan inisiatif tenaga mampan. Pembentukan hubungan yang strategik ini seiring dengan usaha teguh kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon telah meningkatkan keyakinan kami terhadap prospek pasaran pelaburan tenaga boleh diperbaharui bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).” Pengarah Urusan Quinton Group, Dato Dr Kenny
Tan berkata.
Perlaksanaan projek tenaga mampan baharu dengan menggunakan teknologi eksklusif CIP yang hanya tersedia di negara Jepun akan memberi manfaat besar terhadap pembangunan alam sekitar hijau dan tenaga mampan di Malaysia. – SM