Politik

DUN Larkin, enam penjuru, persaingan sihat kata calon MUDA

PENYERTAAN calon dari parti MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini diramalkan sekadar pose cantik kerana untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, calon-calon dari parti yang diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini dirasakan memang sukar.

56 kerusi DUN yang diletakkan calon oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor ini dan dua parti ‘muka baharu’ yang meletakkan calon ialah MUDA dan Pejuang.

Parti MUDA pernah membuat kenyataan bahawa mereka tidak mempunyai jentera parti sebenar BN dan perbandingan seperti itu sebenarnya tidak sepatutnya dilakukan kerana usia MUDA setahun jagung.

DUN Larkin menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk calon MUDA, Rasid Abu Bakar yang berusia 28 tahun.

Kata Rasid, persaingan enam penjuru di DUN Larkin adalah satu persaingan sihat setakat ini dan kalau ada isu pun, “isu yang minimum” dalam kempen calon bertanding termasuk BN, PN, Pejuang dan calon Bebas.

Sepanjang minggu lalu, aktiviti kempen yang dijalankan adalah sihat dan bersih, kata Rasid.

“Ini penting dalam memupuk demokrasi dan kalau tengok di Larkin, adalah perang bendera antara parti. Ia bukan perkara besar kerana perang bendera parti ini memang berlaku dalam setiap pilihan raya,” katanya.

Pertembungan antara MUDA dan PKR menjadi topik hangat PRN Johor ini.

Rasid menegaskan, parti MUDA telah mencuba yang terbaik untuk mengelak daripada pertembungan dengan komponen PH tetapi mengakui pertembungan di Larkin tidak dapat dielakkan.

“Keputusan mengenai pemilihan kerusi dibuat berdasarkan calon. Kita meletakkan calon dengan kerusi DUN yang sesuai dengan profil serta perwatakan mereka.

“Sebagai contoh, saya lahir dan membesar di Larkin dan sebab itu, MUDA percaya saya sesuai bertanding di kerusi DUN ini,” katanya.

Katanya lagi, fokus untuk Larkin antara lain ialah membina platform peningkatan kemahiran diri kepada belia dalam pembangunan perisian dan rekaan grafik.

“Saya ingin menunjukkan kepada belia bahawa ekonomi gig adalah lebih daripada sekadar bekerja sebagai penghantar makanan. Saya percaya peningkatan kemahiran diri penting untuk pertumbuhan ekonomi di Larkin.”

Rasid bertanding di DUN Larkin bersama-sama calon PKR, dR. Zamil Najwah Md Hairi Md Shah (BN), Zulkifli Bujang (PN), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang) dan Norramadan Buan (Bebas).

Menurut data Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), lebih 60% pengundi di Larkin adalah orang Melayu pada 2018.

Izhar Ahmad daripada BERSATU memenangi kerusi itu atas tiket PH dengan 25,012 undi dan memperoleh majoriti 8,590 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berbanding pesaing terdekat daripada BN, Yahya Ja’afar. – SUMBER FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button