Politik

Dulu “saya tidak cukup kacak buat dia”, sekarang, ‘saya tidak cukup bagus jadi Ketua Menteri’?

CELIK mata hari ini, teringat kenyataan yang pernah disebut oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, “Saya tidak cukup kacak buat dia” sekitar tahun 2009. Kenyataan itu keluar dari mulut Bung Mokthar ketika mula-mula bertebaran berita tentang hubungannya dengan aktres Zizie Izette yang pada waktu itu juga, sudah kedengaran desas-desus bahawa Bung Moktar akan berkahwin dengan Zizie.

Siapa masih ingat kenyataan Bung Moktar yang berbunyi, “Saya tidak cukup kacak buat dia” itu yang mana, akhirnya pasangan ini mendirikan masjid dan dikurniakan lima cahaya mata termasuk anak kembar. Perkahwinan di antara orang politik dengan artis bukanlah suatu yang pelik tetapi memang banyak terjadi.

Cuma selepas Zizie bersuamikan Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang kini adalah salah seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, aktiviti seninya tidak lagi seaktif ketika beliau anak dara sebaliknya tumpuan lebih diberikan kepada rumah tangga dan anak-anak. Bagus buat kehidupan yang Zizie jalani pada hari ini.

Mengapa teringat kenyataan “Saya tidak cukup kacak buat dia” ialah apakah “Saya tidak cukup bagus untuk jadi Ketua Menteri Sabah yang baharu’?

Ya, pagi tadi, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang parti pimpinannya, Warisan Plus tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Sabtu lalu (26 September).

Pada hari mendapat keputusan PRN Sabah, nama Bung Moktar ‘naik’ bersama nama Hajiji dan dikemukakan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Bukan ‘rezeki’ Bung Moktar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk menjadi Ketua Menteri Negeri Di Bawah Bayu kerana jawatan itu diberikan kepada Hajiji.

Jawatan Bung Moktar ialah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan itu pun, bukan berseorangan menjawat jawatan tersebut. Kiranya macam Bung Moktar ‘kahwin dua’ kerana ‘diapit’ oleh dua orang lagi yang turut dilantik menjawat jawatan yang sama dengannya.

Dua individu itu, tidak lain dan tidak bukan, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Angin kencang sejak tiga hari lalu terus mengegarkan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mengaitkan kedudukan Bung Moktar.

Kasihan bah pada Bung Moktar kerana dikhabarkan, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN ‘menekan’ suami Zizie ini untuk terus berada dalam Kerajaan Negeri yang baharu.

Itu jugalah yang menjurus kepada membuat keputusan agar keluar daripada terperangkap dalam “Catch 22 situation” dan Bung Moktar menerima seadanya jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan berkongsi  pula dengan Dr. Jeffrey dan Dr. Joachim.

Tidak mengapalah wahai Bung Moktar walaupun dua lagi rakan setugas bergelar Dr.!

Keputusan UMNO Sabah adalah berlandaskan kepada kepentingan rakyat negeri, apatah lagi rakyat Sabah dikatakan memerlukan sebuah kepimpinan yang lebih bagus daripada Warisan.

Mujurlah TYT tidak melantik Shafie Apdal semula ke jawatan Ketua Menteri selepas PRN baru-baru ini berdasarkan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Dalam perkara yang disebutkan di atas itu, memperuntukkan jika PARTI menang majoriti kerusi dalam PRN maka Ketua Parti itu yang juga ADUN boleh dianggap memiliki sokongan majoriti dalam DUN.

Selepas kecoh dan kemelut yang berlaku di PRN Sabah, termasuk semua petugas yang balik ke Semenanjung perlu jalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah selama 14 hari, ramai masih mengatakan bahawa UMNO dan BN tamak kuasa.

UMNO dan BN tamak untuk terus memegang tampuk kuasa tetapi pada hakikatnya, UMNO dan BN merasa telah dipermain-mainkan oleh PPBM (Bersatu) pada PRN Sabah ke-16.

Apakah bukti dakwaan yang dilemparkan di atas? GRS katanya telah bersetuju dalam pembahagian kerusi sebelum penamaan calon supaya tiada kerusi yang bertindih.

Apa yang berlaku ialah PPBM dan Perikatan Nasional (PN) telah meletakkan calon parti dan calon Bebas di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh calon BN.

Kawasan yang dimaksudkan itu ialah di Pitas, Kemabong dan Kuamut (sekadar memberi contoh beberapa kawasan).

Impak atau kesannya, ia telah mengurangkan kerusi DUN untuk BN dan ini membuatkan kepercayaan UMNO dan BN terhadap keikhlasan PPBM, terhakis. Sedih!

Jadi, persoalannya di sini ialah siapakah yang bertanggungjawab dan yang patut dipersalahkan dalam situasi ini?

Apakah sudah ada garis-garis berantakan yang bermula di Sabah, GRS, berjangkit ke Sarawak dan Semenanjung (Pas/UMNO/Bersatu – Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional)?

Beginilah… Kekuatan Muafakat Nasional (MN) menjadi salah satu sebab PPBM meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN).


Pas pula menyertai PN namun PPBM tidak memberi satu kerusi pun kepada Pas untuk bertanding di PRN Sabah. Mengapa? Ini menimbulkan kecurigaan kepada keikhlasan PPBM terhadap Pas sebagai salah satu parti komponen dalam PN.

Janganlah isu kepercayaan (trust issue) terhadap PPBM oleh pimpinan UMNO dan Pas dan situasi politik yang berlaku di Sabah masa kini memberi kesan ke atas Kerajaan Persekutuan yang sedang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Semestinya rakyat mahu melihat kerjaan yang bakal dipilih pada PRU15 nanti adalah kerajaan yang boleh menjaga rakyat, kebajikan rakyat, serba serbi berkaitan dengan rakyat dan dalam masa yang sama, mampu mengurus tadbri negara dengan baik.

Andaikata sekarang adalah masanya untuk diberikan tumpuan kepada PRU15 maka inilah juga masanya parti-parti Melayu bersatu dalam kalangan pemimpin. Umpama carik-carik bulu ayam, lama-lama bertangkup juga.

UMNO dan Pas perlu memperkukuhkan lagi dalam kerjasama MN. PPBM pula perlulah mencari jalan untuk meyakinkan UMNO dan Pas bahawa mereka ikhlas dalam perjuangan.

Jika tidak, PPBM akan kelihatan ditinggalkan dalam tarian PRU15. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button