Hiburan

DUIT untuk kenali lebih mendalam tentang Stacy

EMPAT belas tahun anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Stacy Anam, mendambakan dirinya sebagai penyanyi tanah air.

Namun tempoh lebih sedekad itu masih belum mencukupi untuk mengenali siapakah isteri Akim dan ibu kepada dua cahaya mata ini.

Stacy mahu membuktikan dirinya masih relevan dalam industri, dirinya masih berkemampuan sebagai penghibur dalam usianya 32 tahun.

Oleh itu, beliau melancarkan lagu dari single terbaharunya berjudul DUIT.

Buat pertama kali menerusi buah tangan terbaharu itu, dia membongkar kehidupan sebenar dan siapa dirinya.

Masih setia menggunakan khidmat suami tercinta juga penyanyi Akim Ahmad (Hang Nadim), lagu DUIT juga menampilkan Bunga Cantik iaitu Stacy sendiri dan Koh sebagai komposer serta lirik ditulis oleh Bunga Cantik.

“Lirik lagu DUIT ini ditulis oleh saya. Siapa kenal dan mengikuti latar belakang hidup dan perwatakan saya, ia memang berkaitan dengan lirik lagu ini.

“Lagu ini terinspirasi daripada itu sekaligus tercetusnya idea saya menulis lirik lagu ini yang mana lebih bercerita mengenai kehidupan saya.

“Dalam lirik ini menceritakan kehidupan saya dari kecil. Banyak pesanan, ilmu dan ajaran daripada ibu bapa yang saya dapat untuk saya membesar.

“Dalam masa sama, duit ini boleh tukar hidup seseorang dari tak suka kepada suka. Daripada duit juga terhasil cerita, asal saja tahu macam mana nak mendapatkan duit,” katanya.

Menurut Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy, menerusi lagu DUIT ini juga peminat dan orang ramai akan mengetahui kisah dan perjalanan hidupnya.

“Walaupun sudah hampir 14 tahun bergelar penyanyi, saya berasakan lagu ini adalah pengenalan untuk saya memperkenalkan kehidupan saya dan siapa saya pada orang ramai. Sebab sekarang saya sudah boleh buat lagu dan tulis lirik sendiri.

“Jadi, ia memberi peluang dan ruang pada saya untuk bercerita siapa saya sebenarnya. Saya ini macam mana. Jadi lagu DUIT ini memang mengenai saya. Dari segi gaya, ‘vibes’ karakter macam lagu dulu, tapi lirik mengenai saya.

“Kalau dulu lagu Aku Stacy ia lebih pada karakter yang saya dapat sampaikan, tapi dari segi diri sendiri ia berbeza. Sebab lagu itu orang lain tulis lirik. Tapi lagu DUIT ini memang lahir dari hati saya. Lebih menjiwai dan sampai sebab bercerita mengenai pengalaman dan diri sendiri,” katanya.

Stacy berkata, dengan adanya pembabitan Akim dalam lagu itu sedikit sebanyak mewarnai lagi penghasilan lagu DUIT.

Tambahnya, lagu DUIT bergenre rock n roll pop dan masih mempunyai tarian tetapi tidak terlalu berat yang dipanggil ‘rock dance’.

“Muzik lebih kepada rock n roll kerana pembabitan Akim dalam lagu ini. Sentuhan Koh juga memberikan eleman yang segar.

“Saya tak sabar untuk mendengar maklum balas peminat. Apa saya boleh cakap, saya selesa dengan lagu ini dan ia memang bercerita mengenai diri saya. Karakter itu pun memang kena dengan karakter sebenar saya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu DUIT, Stacy berkata ia sudah disiapkan sejak September tahun lalu tetapi tangguh untuk dikeluarkan.

Bagaimanapun, kejayaan lagu ciptaannya bersama Akim iaitu Cinta nyanyian Marsha yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36) telah memberi semangat kepada Stacy untuk melancarkan lagu DUIT ini.

“Lagu ini sudah siap dari September tahun lalu. Cuma tangguh dan keluarkan lagu orang lain dulu. Semangat ingin keluarkan lagu ini datang apabila lagu Cinta nyanyian Marsha ke AJL. Jadi, kita lebih semangat dan yakin untuk keluarkan produk baru.

“Tapi dari dulu lagi kami memang main buat dan keluarkan saja. Akim pun pernah cakap jangan terlalu fikir pendapat atau kejayaan lagu yang dibuat, baru nak semangat. Itu masalah juga. Bidang ini adalah sebahagian daripada pekerjaan kami. Apabila Akim memperkenalkan saya sebagai komposer dan penulis lirik, kami punya tujuan lebih pada nak berkarya. Dalam masa sama ini juga punca pendapatan dan ini adalah rezeki.

“Apabila ada lagu yang berjaya dan pergi jauh, ia adalah rezeki. Macam lagu Cinta, tak pernah jangka boleh ke AJL. Syukur Alhamdulillah. Setiap kali keluarkan lagu, kami tidak pernah jangka sejauh mana ia boleh pergi. Cuma keyakinan itu tetap ada. Susah nak cakap kalau soal rezeki. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button