Dua sahabat didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 20 kilogram pada pukul 4.30 petang, 4 Oktober lalu di persimpangan lampu isyarat Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Ulu Pauh, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun.
Mohamed Azlan Shah Abdul Jaafar, 28 seorang buruh kasar dan Fauzan Faris Mohamad Fadzli, 27 seorang “bar tender” masing-masing beralamat di Pulau Pinang mengaku faham ketika dibacakan kertas pertuduhan ke atas mereka.
Mengikut fakta kes bahawa kedua tertuduh bersama-sama pada 4 Oktober lalu pada pukul 4.30 petang di persimpangan lampu isyarat PTSS, Ulu Pauh, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun, Arau telah mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 20 kilogram.
Majistret Ana Rozana Mohd Nor menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan seterusnya sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nurul Atikah Ab Rashid.
Kedua tertuduh tidak diwakili oleh peguambela.
Dua sahabat ini didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Ia membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati. – SM