Dua pesakit Hospital Al-Shifa maut, penembak tepat rejim Zionis semakin kejam
Sekurang-kurangnya dua pesakit Hospital Al-Shifa di Gaza, maut selepas kemudahan itu tidak dapat beroperasi semalam akibat pengeboman Israel.
Pengarah Hospital Al-Shifa berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana rejim Zionis yang menempatkan penembak tepat menyasarkan sesiapa saja yang bergerak dalam kompleks perubatan itu
“Unit rawatan rapi (ICU) hospital juga menjadi sasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri turut berkata, tentera zionis mengebom bangunan pembedahan di Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza.
Saluran TV Palestin melaporkan, selain dikepung, serangan artileri dan udara Israel di sekitar Hospital Al-Shifa dan kawasan kejiranan Gaza tidak berhenti selama enam jam.
Petang Jumaat lalu, pesawat Israel memperhebatkan serangan mereka terhadap hospital di Semenanjung Gaza.
Tentera zionis meneruskan serbuan di sekitar Hospital Al-Shifa, Hospital Indonesia, Hospital Al-Awda, Hospital Al-Quds dan Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi, di Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan serangan udara dan darat tanpa henti dengan menyasarkan hospital, kediaman dan rumah ibadat di wilayah dikuasai Hamas itu.