Jenayah
Dua pengawal keselamatan didakwa membunuh
Dua pengawal keselamatan didakwa di mahkamah majistret Telok Datok hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki minggu lepas.
Ishardy Shamudin, 41, dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff, 31, didakwa membunuh M. Saravana Kumar, 24, di tepi Jalan Haji Wahab, Kampung Olak Lempit, di sini, antara 10 malam dan 11 malam pada 11 Jan lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ermadieyani Ismadi, manakala peguam Nik Muhammer Hurrie Muhamad Sukri dan R. Sritheran masing-masing mewakili Ishardy dan Muhammad Yazzid.
Majistret Khairul Farhi Yusob menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.