Dua penalti selamatkan Negeri Sembilan FC
NEGERI Sembilan FC menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 pada aksi sulung Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban.
Anak buah K Devan itu memanfaatkan sepenuh aksi di gelanggang sendiri walaupun ada masanya mereka goyah dengan asakan JDT II.
Ketua pasukan, Zaquan Adha Abd. Razak meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-23 hasil sepakan penalti.
Kelekaan barisan pertahanan tuan rumah bagaimanapun dihukum oleh JDT II dihujung sepaaruh masa pertama menerusi Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman.
Pada babak kedua tuan rumah melipatgandakan asakan dan sekali lagi diberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Alain Thierry Akono Akono pada minit 51.
JDT II cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan, tetapi Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kelebihan satu gol itu hingga tamat perlawanan.