Nasional

Dua lemas ketika keluar memancing

SEORANG remaja lelaki dan seorang warga emas mati lemas ketika keluar memancing di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Mohd Syazwan Saidy berkata, mangsa dikenali sebagai A. Vijay, 16, dari Ladang Kombok dan kenalannya G. Chantiran, 60, yang beralamat di Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam sebelum 10 anggota bomba bersama 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi.

“Mayat remaja itu ditemukan abangnya pada jam 7.15 malam. Dia mencari adiknya di kawasan sungai selepas tidak pulang ke rumah sejak petang.

“Abangnya mendapati hanya barangan peribadi milik dua mangsa berada berhampiran sungai. Dia cuba menghubungi abangnya dan terdengar bunyi telefon di tebing sungai sebelum tiba-tiba ternampak jaring di permukaan air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Syazwan berkata, abang mangsa kemudian menarik pukat dan mendapati Vijay terperangkap di dalamnya dan kemudian menariknya ke atas sebelum mendapati adiknya sudah meninggal dunia.

Mayat lelaki warga emas itu ditemukan PPDA di dasar sungai itu kira-kira jam 11 malam, kira-kira 10 meter dari tebing, katanya.

Beliau berkata, anak Chantiran, C. Sivam, 36, juga mencari bapanya di lokasi tetapi tidak menemuinya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button