Khabar gembira buat golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun
apabila mereka boleh menerima bayaran e-Tunai Belia Rahmah
berjumlah RM200 bermula bulan depan.
Mengumumkan perkara tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menegaskan, bayaran itu akan dibuat mulai Jun ini ketika
menjawab soalan seorang pelajar pada program Santai Petang dan
Dialog bersama Perdana Menteri di Dewan Mat Chinchang, Kolej
Vokasional Langkawi di sini pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan golongan belia agar tidak percaya
bulat-bulat maklumat di aplikasi Tiktok berkaitan pembayaran
e-Tunai Belia Rahmah yang kononya akan dibayar pada April lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang maklumat di
aplikasi berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu.
“Siapa kata e-Tunai Belia Rahmah dibayar pada April? Itu tidak
benar lainlah kalau Menteri Kewangan cakap itu baru betul.
“Ini Menteri Kewangan nak jawab kepada sesiapa yang tanya pasal
e-Tunai Belia Rahmah, insya-Allah bulan depan kita akan bagi,”
ujarnya sewaktu sesi soal jawab Santai Petang dan Dialog bersama
Perdana Menteri di Dewan Mat Chinchang, Kolej Vokasional
Langkawi di sini pada Rabu.
Perdana Menteri berada di Langkawi merasmikan segmen maritim
Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023
(LIMA’23) yang diadakan di Resort World Langkawi, Pantai Tengah
pada Selasa.
Pada Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat kerajaan
mengumumkan akan memberikan kredit e-Tunai berjumlah RM200
kepada dua juta golongan belia dengan keseluruhan peruntukan
sebanyak RM400 juta.
Pada sesi dialog tersebut Anwar menyantuni golongan pendidik dan
anak muda di sekitar Langkawi dengan pelbagai isu semasa
dibincangkan berkaitan pendidikan, ekonomi dan sosial.
Perdana Menteri turut mengingatkan golongan belia untuk terus
memperjuangkan nilai-nilai murni serta memperteguh jati diri
kerana mereka menjadi tonggak harapan negara.
“Insha Allah, negara Malaysia tercinta ini akan terus harmoni
dan kian maju di masa mendatang,” katanya. – SM