Nasional

Dua bot rekreasi ditahan Maritim Malaysia

Dua bot rekreasi ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan sewaktu rondaan dilakukan di pantai peranginan Port Dickson dan Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Iskandar Ishak berkata, hasil pemeriksaan kedua-dua bot termasuk jurumudi berusia 19 tahun kerana tidak memiliki Certificate Of Competency dan bot beroperasi tanpa lesen daripada Jabatan Laut Malaysia.

Sehubungan itu menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan pada 7 dan 8 September sewaktu Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan sedang melaksanakan rondaan keselamatan serta menyantuni pengunjung di sekitar pantai perangian di Melaka dan Negeri Sembilan.

Anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan memperkatakan sesuatu kepada pengunjung.

“Rondaan darat dijalankan dari pantai Puteri, Melaka hingga ke pantai Port Dickson, Negeri Sembilan berikutan cuti persekolahan penggal kedua tahun 2022.

“Rondaan dilaksanakan sepanjang cuti ini bertujuan memberikan nasihat keselamatan kepada pengunjung di samping pemantauan terhadap pengusaha bot rekreasi supaya mematuhi peraturan yang
ditetapkan.

“Sepanjang rondaan itu kita telah memeriksa 10 bot rekreasi dan dua daripadanya tidak memiliki Certificate Of Competency dan bot beroperasi tanpa lesen daripada Jabatan Laut Malaysia,” ujarnya
dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Iskandar menasihatkan agar komuniti maritim termasuk pengunjung pantai rekreasi mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di air.

Menurutnya, pengunjung seharusnya sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang tidak menentu pada fasa peralihan Monsun Timur Laut di pertengahan bulan ini.

“Maritim Malaysia sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika melihat sebarang aktiviti jenayah dan kecemasan di laut untuk menghubungi di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button