DUA beradik dipercayai anggota sindiket penyeludupan arak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes suapan wang tunai kira-kira RM25,000 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut sumber, dua suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan di premis perniagaan mereka di Kuala Lumpur dalam operasi yang dijalankan PDRM dan SPRM, kira-kira jam 10 pagi pada Selasa (28 Jun).
Difahamkan, kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam penjualan arak dengan cukai tidak dibayar telah cuba merasuah pegawai kanan PDRM sebagai balasan pembebasan mereka dan tiada tindakan mengikut Seksyen 135 (1) (e) akta berkenaan. Akta Kastam 1967.
Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini (29 Jun), untuk permohonan reman.
Artikel berkaitan > Kes rasuah Guan Eng, saksi tak takut ketika SPRM rakam percakapan