Nasional
Dua anggota polis parah, suspek dikejar maut dalam kemalangan
Dua anggota dari Cawangan Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar cedera parah sementara seorang suspek maut, selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Benteng Parit Kongsi 4, Parit Jawa, kira-kira pukul pagi, semalam.
Memetik laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal, pihaknya mendapati dua anggota polis berkenaan sedang dalam tugasan rondaan dan cuba menahan kereta dinaiki suspek, untuk tujuan pemeriksaan.
Katanya, menyedari kehadiran polis, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Vios bertindak melarikan diri dengan memecut kereta ke arah Parit Jamil.
“MPV yang dinaiki anggota yang berusia 40 dan 41 tahun itu, telah membunyikan siren serta memberikan isyarat supaya suspek memberhentikan kereta, tetapi suspek enggan berbuat demikian untuk mengelak dari ditahan polis.
“Semasa usaha mengejar dilakukan, kedua-dua kenderaan telah terbabas dan termasuk ke dalam parit yang mengakibatkan kereta yang dipandu suspek terbakar, hingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata dua anggota yang mengalami kecederaan parah, telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, manakala mayat suspek dihantar ke Unit Ferensik HPSF untuk bedah siasat dan ujian DNA, bagi mengenal pasti identitinya.
“Kertas sisatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya. – SM