DUA anggota polis terlibat dalam kemalangan maut ketika sedang mengejar suspek lumba haram di Kilometer 24.4 Lebuhraya SILK dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.
Difahamkan, dua anggota polis yang maut masing-masing berpangkat Sarjan serta Konstabel yang berusia 36 dan 26 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi tadi ketika Op Samseng Jalanan diadakan.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian anggota berpangkat Sarjan datang dari arah Kajang dan ketika sampai di tempat kejadian, telah berlanggar dengan seorang lagi anggota polis.
“Kedua-dua mangsa (si mati) adalah anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah Kajang yang sedang bersama-sama melaukan tugas Operasi Samseng Jalanan,” katanya.
Menurut Mohd. Zaid, ketika kejadian, mangsa sedang mengejar suspek lumba haram.
Jelasnya, lokasi kejadian juga adalah laluan yang sering digunakan oleh samseng jalanan untuk berlumba.
“Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kemalangan,” katanya.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SM