Nasional

Sebagai Muslim, adakah saudara pengunjung kelab malam? – Tanya Dr Maza

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas pihak yang membandingkan larangan solat Jumaat dengan penutupan psaut-pusat hiburan sebagai tidak cukup pandai dan dangkal.

Melalui hantaran di facebooknya, beliau bertanya kepada golongan yang menggunakan hujah itu adakah  mereka pengunjung tegar kelab malam hingga memerlukan arahan supaya tempat-tempat itu ditutup.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

“Ada orang berkata: “Kalau aktiviti di masjid semua nak ditangguhkan sebab COVID 19, kenapa kelab malam dan pusat hiburan Mufti tidak beri arahan tangguh?”

Saya bertanya: “Sebagai muslim, apakah saudara pengunjung kelab malam sehingga perlukan arahan supaya jangan kunjung pada masa ini? Apakah jika tiada virus maka saudara pengunjung tegar kelab malam? Apakah saudara mahu dikeluarkan arahan ‘jangan kunjung kelab malam pada masa ini? Ertinya, selepas ini boleh? Atau saudara pengurus kebajikan ahli kelab malam?

Dangkal…

Kelab malam dan pusat hiburan ada bidang kuasa pihak yang lain. Di Perlis alhamdulillah tiada kelab malam.

Adapun, hukum datang ke masjid itu antara wajib dan sunat. Umat Islam mengunjungi masjid atas titah perintah agama.

Jika mahu menahan kehadiran mereka ke masjid atas menjaga kemaslahatan dan pencegahan kemafsadatan (kebinasaan) memerlukan alasan dan penjelasan agama.

Oleh kerana itu, pihak berkuasa agama perlu bersidang dan merumuskan pandangan hukum.

Tempat-tempat lain semuanya telah Pihak Kerajaan arahkan menangguh segala perhimpunan sehingga hujung bulan April.

Maka wajib taat kepada pemerintah dalam hal seperti itu. Adapun pentadbiran institusi agama di bawah pihak berkuasa agama setiap negeri.

Bagi tujuan memelihara keselamatan Umat Islam, hampir seluruh dunia telah mengeluarkan fatwa menghentikan Solat Jemaah dan Solat Jumaat. Anda mungkin ketinggalan pengetahuan.

Kita mungkin jujur memberikan pendapat tapi kena berfikir dahulu sebelum mengeluarkan pandangan. Kita mungkin ingin menzahirkan kepandaian tapi jangan sampai kelihatan sangat ‘tidak pandai’. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button