Nasional

Dr. Noor Hisham sedih genap setahun, Covid belum ada tanda pulih

HARI ini genap setahun Covid-19 dikesan di Malaysia selepas tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Singapura disahkan positif dijangkiti virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melahirkan rasa sedihnya kerana telah setahun pasukan petugas barisah hadapan dan rakyat bertahan mengawal jangkitan Covid-19 daripada terus merebak.

Namun selepas setahun berusaha tidak ada sedikit pun tanda-tanda negara akan pulih daripada wabak yang menyerang seluruh dunia itu.

Pun begitu, walaupun sudah berada pada tahan keletihan fizikal dan mental kerana telah bertahan begitu lama, Dr. Noor Hisham berharap segenap lapisan masyarakat tidak berputus-asa.

Sebaliknya setiap daripada rakyat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab menyelamatkan negara.

Related Articles

“Sungguh menyedihkan saya hari ini bahawa kita telah bertahan selama satu tahun melawan Covid-19 di negara kita. Hujungnya hampir tidak kelihatan.

“Namun, walaupun keletihan mental dan fizikal, kita semua perlu terus maju. Setiap orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.

“Patuhi SOP, pakai topeng muka dengan betul, cuci tangan, dan jaga jarak fizikal. Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar.

“Bersama-sama kita dapat memutuskan rantai transmisi COVID-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama perjuangan akan terus berlangsung Insya Allah,” kata Dr. Noor Hisham.

Pada 25 Januari 2020 warganegara China terdiri daripada seorang wanita berusia 66 tahun serta dua cucunya masing-masing 11 dan dua tahun masuk ke Malaysia dan positif Covid-19.

Mereka adalah kes pertama Covid-19 di Malaysia dan merupakan isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama Covid-19 di Singapura.

Kes pertama melibatkan rakyat Malaysia pula dilaporkan pada 4 Februari 2020.

Lelaki terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura, dari 16 hingga 22 Januari lalu bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk China.

Lelaki berkenaan kemudian pulang ke Malaysia pada 23 Januari lalu, sebelum mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta di Selangor, enam hari berikutnya kerana demam dan batuk.

Malaysia tidak menutup pintu sempadannya serta merta ketika wabak itu mula merebak di negara ini.

Sehingga semalam 180,455 kes Covid-19 telah dikesan dengan 137,019 telah sembuh. Virus itu menyebabkan sehingga kini 678 orang telah meninggal dunia.

Jumlah jangkitan terus bertambah dengan kes baharu melebih lebih 3,000 setiap hari sejak beberapa minggu lalu dan kes aktif yang sedang dirawat pula sebanyak 41,677 kes.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button