Politik

Dr Mahathir diminta pujuk Mukhriz tidak cabar presiden

MEMINTA Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad memujuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz supaya tidak meneruskan cabarannya terhadap Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu langkah semulajadi untuk memastikan Bersatu dapat terus membina keutamaan bangsa.

Menyuarakan rasa dukacita atas perebutan jawatan nombor satu Bersatu tersebut, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, dengan Dr Mahathir sendiri menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebelum ini, maka “apa justifikasi Mukhriz menentang presiden Bersatu itu pada masa ini yang ketika ini sedang cuba menghasilkan formula untuk memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia”.

“Baru sangat peristiwa (pertikaian antara) Dr Mahathir dan Muhyiddin disebarkan berkaitan peristiwa-peristiwa yang disebut secara huraian mengelirukan.

“(Maka) apabila Mukhriz mencabar Muhyiddin, saya tersentak dan tidak menduga hal ini berlaku.

“Dan ada nampaknya kumpulan di sebelah Mukhriz disertai ketua armada. Bagaimanapun saya anggap Bersatu masih mempunyai dukungan yang objektif terhadap presiden oleh kerana beliau (Muhyiddin) adalah Perdana Menteri dan fakta bahawa jawatan Perdana Menteri itu sendiri akan membantu banyak kempen pemilihan (Muhyiddin) dan penjelasan beliau kepada rakyat.

“Saya harap Dr Mahathir dapat meredakan keadaan ini,” kata Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan itu kepada Suara Merdeka hari ini.

Rais berkata, sebagai orang lama dalam perjuangan, beliau percaya, malah berharap Dr Mahathir dapat menyelesaikan isu perebutan jawatan presiden tersebut.

“Sedikit sebanyak dengan kewibawaan beliau, saya percaya Dr Mahathir tidak berminat dengan politik remeh. Kita perlu lihat kesan politik watan daripada majmuk.

“Dengan adanya Bersatu-UMNO-Pas (dalam kerajaan Perikatan Nasional atau PN), telapak politik Melayu berada dalam keadaan teguh,” kata beliau.

Beliau juga tidak yakin punca Mukhriz mencabar Muhyiddin disebabkan isu ‘kerajaan pintu belakang’ yang membawa sehingga berlaku peralihan kuasa mengejut daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN.

“Kalau isu ‘kerajaan pintu belakang’, ia tidak ada asas kerana dari segi kekemasan, ia mengikut perlembagaan tanah air.

“Cuma ‘pintu belakang’ itu istilah negatif Barat dalam memberi deskripsi yang tidak mengikut lunas selepas pilihan raya. Dari segi undang-undang tak salah kerana telah melalui tapisan perlembagaan Perkara 43 (20) dengan Perkara 40 disempurnakan,” kata beliau.

Menurut Rais lagi, dengan kedudukan UMNO dan Pas ketika ini memiliki 39 dan 18 kerusi Parlimen, ia sekali gus menjelaskan bahawa `kerajaan pintu belakang’ suatu hujah tidak matang dari sudut tanah air.

“Kerajaan PN ini sah kerajaan yang Agong dan Parlimennya sekali. Tinggal lagi tak sedap didengar oleh yang ada kedudukan.

“Dan kalau tak setuju, Mukhriz boleh bawa usul undi tidak percaya ke Dewan Rakyat (pada 18 Mei depan), baru ia akan menjawab nilai-nilai tak sah (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri. Kalau (Muhyiddin) menang di situ, beliau akan terus menjadi Perdana Menteri yang sah diterima negara,” kata beliau.

Tokoh budaya itu turut tertanya-tanya mengapa Mukhriz sanggup menentang presiden memandangkan Muhyiddin banyak beri ruang kepada menteri besar itu di Kedah.

“Malah banyak pandangan melibatkan Dr Mahathir iaitu kalau Dr Mahathir sendiri menyokong Muhyiddin, saya yakin ini (perebutan jawatan Presiden) tidak akan berlaku,” kata beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button