BeritaPolitik

Dr. Mahathir berjaya dalam gagal

SUHU politik tanah air sedikit reda apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai  Perdana Menteri Kelapan.

UMNO dan Pas yang menjadi seteru Bersatu, bersetuju menerima beliau.

Begitu juga kumpulan serpihan PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, MCA dan MIC.

Parti-parti yang mewakili Sabah dan Sarawak turut dikhabarkan tiada masalah dengan pelantikan ini.

Persetujuan itu dicapai bagi menghalang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang  bertindak sebagai Perdana Menteri Interim mengekalkan kuasanya.

Dr. Mahathir adalah individu yang memulakan konflik dan akhirnya `dipaksa’ menamatkannya.

Muhyiddin disifatkan calon terbaik berbanding pilihan yang ada. Tinjauan rambang juga mendapati beliau lebih diterima majoriti rakyat.

Isu sama ada beliau telah melupakan pengalaman lalu – dipecat keahlian dalam UMNO kerana mempersoalkan isu rasuah yang masih membelenggu bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak – mungkin terjawab melalui pelantikan barisan Kabinet yang akan dimuktamatkannya.

Tidak dinafikan, banyak kesan negatif sekiranya kecelaruan politik dibiarkan berterusan.

Pergolakan kepemimpinan jika tidak dihentikan hanya akan memudaratkan rakyat dan negara.

Berdepan dengan wabak COVID-19 – yang hampir melumpuhkan ekonomi di seluruh dunia, meletakkan Malaysia dalam kedudukan lebih sukar. Banyak kerja tertangguh harus diselesaikan.

Kesukaran mentadbir dan membuat keputusan rentetan desakan peralihan kuasa oleh DAP dan PKR terhadap Dr. Mahathir membawa kepada titik tolak pergolakan politik yang lebih besar.

Sedangkan dalam masa sama, rakyat hidup bergelumang dengan kesukaran akibat peningkatan kos sara hidup dan gejala sosial. Semakin ramai yang kehilangan pekerjaan menambahkan tekanan dan keresahan.

Dalam hal ini, Dr. Mahathir, walaupun bukan atas kerelaannya, telah `berkorban’ demi menyelamatkan negara.

Peletakan jawatan Perdana Menteri, secara tidak langsung, membuka ruang yang luas kepada usaha membina semula negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berupaya menangani isu kepemimpinan serta isu semasa.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada malam 21 Februari lalu menjadi medan terakhir polemik perbincangan transisi peralihan kuasa, sebelum segala-galanya menjadi sukar dan kesabaran tidak dapat dibendung lagi.

Indikator kemarahannya dapat dihidu apabila dalam satu sidang media dihadiri bersama kepemimpinan kerajaan PH, beliau menegaskan “Terpulang kepada saya buat keputusan.”

Di sebalik kenyataan tersebut, tersirat `kekecewaan’ yang menggambarkan kegagalan mendapatkan persetujuan diharapkan – menghentikan isu peletakan jawatan sehingga selesai Sidang Kemuncak  Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur November ini.

Langkah kedua yang ada ialah mewujudkan kerajaan campuran tanpa pembangkang.

Cadangan ini ditolak parti UMNO dan Pas yang bekerjasama atas nama Muafakat Nasional.

Sekiranya diterima dengan hati terbuka, ia mungkin seiring dengan tema persidangan APEC yang dicadangkan sebelum ini iaitu ‘Mengoptimumkan Potensi  Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’.

Usaha ini jika berjaya, negara akan mencipta satu lagi rekod dunia, sekali gus mengangkat nama baik Malaysia ke persada antarabangsa.

Namun, politik kepartian mengatasi segala-galanya – memaksa beliau mengubah haluan.

Pendirian Dr. Mahathir – hanya boleh menerima ahli-ahli politik secara individu dan bukan parti,  akhirnya membawa kepada satu episod duka kepada dirinya sendiri – beliau hilang sokongan.

Apapun, kesungguhan merawat kepincangan ekonomi jelas apabila Dr. Mahathir tidak bertangguh membentangkan Pelan Rangsangan Ekonomi. Biarpun negara masih terkejut dengan keputusannya meletakkan jawatan.

Malah, Dr. Mahathir juga tidak kekok menghadiri majlis yang telah ditetapkan selaku pemimpin negara untuk berdepan dengan wakil-wakil negara ASEAN pada hari berikutnya.

Bagi beliau, penolakan rakyat mungkin adalah isu berasingan daripada keutamaannya pada negara.

Umum mengenali Dr. Mahathir sebagai tokoh politik yang terkenal dengan percaturan dan strategi. Tidak dinafikan, sukar untuk menjangka apa yang dirancang dan meneka apa yang berlegar-legar di dalam kotak fikirannya.

Yang pasti, belum pernah tercatat mana-mana pihak berjaya mematahkan langkah beliau.

Apa pun tafsirannya, Dr. Mahathir tetap merupakan individu yang bertanggungjawab menggerakkan perubahan yang sedang berlaku.

Faktor dominan, sememangnya ciri-ciri yang perlu ada pada mana-mana tokoh hebat.

Persoalan kini adalah, apakah pemimpin-pemimpin politik lain telah cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab mencorakkan masa depan yang lebih baik kepada negara?

Dr. Mahathir, walaupun strateginya untuk mengekalkan kuasa gagal, beliau sekurang-kurangnya berjaya membuka mata rakyat tentang wajah sebenar ahli-ahli politik di negara ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button