Dr. M minta kerajaan pertimbang cadangan jana ekonomi Langkawi
Industri pelancongan boleh diperbaiki jika dirancang dengan mengambilkira SOP Covid
AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad bersedia untuk menyumbang idea bagi membantu menjana ekonomi di pulau pelancongan Langkawi.
Bekas perdana menteri itu berkata, suasana ekonomi di pulau itu ketika ini amat suram berikutan penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan akibat Covid-19 telah menjejaskan industri pelancongan Langkawi.
“Hanya dua tiga penerbangan sahaja dari Subang/Sepang masuk Langkawi tiap hari. Jadual penerbangan masuk, serta perkhidmatan feri amat berkurangan setelah kawalan pergerakan terbaru dikenakan ke atas Selangor, terutamanya.
“Walaupun beberapa bulan lalu terdapat peningkatan kemasukan pelancong tempatan, malangnya pertambahan mendadak kes-kes Covid-19 telah membantutkan kedatangan pelancong ke Langkawi,” kata Dr. Mahathir.
Jelas beliau, banyak peniaga merungut, kedai ditutup dan ada juga yang gulung tikar. Pusat-pusat pelancongan juga kelihatan sepi.
Menurut Dr. Mahathir, PKP terbaru telah menjejas sektor pelancongan kerana ramai pelancong tempatan terutamanya dari Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat berkunjung ke Langkawi.
Justeru katanya, terdapat banyak cara dan cadangan yang memerlukan kebenaran kerajaan boleh dilaksanakan untuk menjana ekonomi di pulau tersebut.
“Saya khuatir kesan jangka panjang kepada ekonomi Langkawi dan kepada kehidupan penduduk pulau ini.
“Sebenarnya terdapat banyak cara dan cadangan untuk memperbaiki ekonomi Langkawi. Tetapi setakat ini kebenaran Kerajaan tidak dapat diperolehi. Mungkin ia disebabkan wabak Covid-19.
“Tetapi jika dirancang dengan mengambilkira SOP Covid, industri pelancongan dan lain-lain industri boleh diperbaiki,” kata Dr. Mahathir.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, cadangan tersebut boleh dilakukan tanpa peruntukan Kerajaan sebalinya boleh menyumbang kepada pertambahan dana Kerajaan.
Jelas Dr. Mahathir, Covid-19 akan ambil masa yang lama untuk dihapuskan. Sementara itu, rakyat perlu terus hidup dan menjana pendapatan untuk sara kehidupan serta keluarga.
“Mereka harus diberi peluang jika tidak negara akan mengalami kehancuran ekonomi.
“Mungkin ada sesiapa dalam Kerajaan yang boleh dengar rintihan peniaga kecil seperti ini dan beri pertimbangan. Saya akan terus berikan idea lain jika ianya dapat membantu,” kata Dr. Mahathir.-SM